Kerajaan teliti perketat undang-undang perlindungan pemberi maklumat

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan sedang meneliti peruntukan undang-undang berkaitan bagi memperketat perlindungan terhadap pemberi maklumat yang melaporkan mengenai rasuah dan kesalahan tatakelola.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu merupakan antara fokus utama beliau kerana terdapat ramai pemberi maklumat termasuk penjawat awam berasa tidak selamat untuk melaporkan kes-kes berkenaan kerana mendapat tekanan.

“Cuma ada pandangan daripada pihak perundangan yang menyatakan ini bukan memberi laluan kepada mana-mana pihak untuk membuat tuduhan palsu ataupun fitnah.

“Jadi dibedakan dengan usaha memberikan fakta dan saya setuju dengan gesaan, dan ini akan kita bentangkan, selewat-lewatnya diharap dalam sesi (Parlimen) akan datang,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berhubung komitmen kerajaan dalam meminda peruntukan berkaitan perlindungan pemberi maklumat yang harus dilaksanakan segera seperti disyor Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governan dan Anti Rasuah sebelum ini.

— BERNAMA

Baca juga : Runner JPJ pening kepala, pelanggan nak semula bayaran untuk ‘roadtax’