Kerajaan sekarang didakwa terlalu ghairah membantu pemaju dalam isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu sehingga sanggup menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk berbuat demikian.
Padahal, kata ahli parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, akta ini sepatutnya hanya digunakan untuk projek kepentingan awam bukan untuk kepentingan pemaju.
Khalid memetik kata-kata bekas ketua pembangkang ketika kerajaan Pakatan Harapan, Datuk Seri Ismail Sabri yang menjadi perdana menteri sekarang.
“Seperti yang pernah diucapkan oleh Datuk Seri Ismai Sabri ketika kami mahu membangunkan Kampung Bharu, “Tidak boleh guna akta pengambilan tanah itu kecuali untuk bina hospital”
“Itu yang dikatakan kepentingan awam bukan hendak dibangunkan kembali, hendak diberikan kepada pemaju dan sebagainya,” kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu ketika membentangkan usul mengenai pengambilan tanah Kampung Sungai Baru di Dewan Rakyat melalui Kamar Khas petang semalam.
Khalid menyalahkan perkara ini kepada bekas Menteri Wilayah selepas beliau iaitu Tan Sri Annuar Musa.
“Menteri Wilayah selepas saya, bukan menteri Wilayah sekarang yang baik dan budiman tetapi suka mencelah ini, telah berperanan dengan begitu ghairah sekali membantu pemaju,” kata Khalid.
Menurut Khalid, dalam sebuah video pemaju menyatakan dengan jelas, projeknya disokong oleh Tan Sri Annuar Musa dan KWP telah diarah untuk menjadi pemudahcara dan Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB) sebagai urusetia untuk menjayakan projeknya.
“Sehingga diarahkan TNB, IWK, COB dan lain-lain untuk datang membantu.
“Dia (pemaju) cukup seronoklah. Sehingga dikatakan ini suntikan yang diberikan oleh Menteri Wilayah ketika itu.
“Saya nak tanya, siapa yang membantu pemilik. Kalau Kementerian Wilayah, Perbadanan Kampung Bharu, TNB, IWK, COB, semuanya dikerahkan oleh menteri untuk membantu pemaju.
“Siapa yang bantu pemilik, orang Melayu yang susah inbi,” tanya Khalid Samad.
APA BERLAKU JIKA PEMAJU GULUNG TIKAR
Selain soal harga, Khalid berkata, pemilik juga risau jika pemaju projek ini gulung tikar.
“Pemilik dibayar melalui unit yang baru bila sudah selesai pembinaan nanti. Selain itu, mereka diberikan duit sedikit untuk pindah dan sewa rumah.
“Tetapi bayaran yang sebenarnya apabila projek itu selesai dengan diberikan rumah yang baru.
“Tetapi kalau pemaju gulung tikar, apa akan berlaku. Apa jaminan terhadap tanah mereka. yang sudah pasti pada ketika itu tanah mereka sudah dicagar kepada bank oleh pemaju,” kata Khalid.
Menurut Khalid, beliau ada pengalaman dalam kes sebegini di Ijok, Selangor apabila beliru terlibat membantu pemilih tanah di sana.
Pemilik memiliki tanah 10 ekar setiap seorang dan tanah itu diberikan kepada pemaju.
Ada tiga empat pemaju yang kendalikan, tetapi semuanya terbengkalai, katanya.
“Mereka terpaksa menunggu berbelas tahun sehinggalah Pakatan Rakyat ambil alih kerajaan sebelum ini, barulah masalah itu berjaya selesaikan.
“Sekarang ini pemilik Kampung Sungai Baru ini risau, kalau dia serah tanah mereka, dan pemaju cagar kepada bank dan tiba-tiba pemaju gulung tikar.
“Apa jadi kepada mereka. Apa jaminannya. Adakah kerajaan sanggup menjadi penjaminnya,” tanya beliau.
Bagi Khalid, pendekatan ini ini jauh berbeza dengan pendekatan kerajaan PH tempoh hari di mana pemilik dibayar terlebih dahulu dan tidak dibayar melalui pemberian rumah.
“Kami dahulu bayar RM1,000 sekaki persegi. RM850 tunai dan RM150 melalui saham dalam pembangunan yang nak dilakukan.
“Bila penduduk dapat duit awal, dia nak beli rumah baru, dia nak balik kampung dan bina banglo, mension ke apa, itu hak dia.
“Tetapi yang ini, mereka kena tunggu rumah disiapkan, baru dapat hak mereka.
“Dahlah harga pun tidak jelas, termanya pun berat sebelah ke pihak pemaju,” kata Khalid.
HARGA TERLALU RENDAH
Dalam kes ini, katanya, pemilik unit di rumah flat akan dibayar pampasan dengan harga sebanyak RM244,460 iaitu kadar RM4400 semeter persegi.

“Adakah itu benar.
“Kalau benar, dengan duit RM240,000 itu, dia nak beli apa di KL ini dengan harga yang sedemian rupa.
“Sebab itu saya rasa pihak kerajaan kena membela golongan lemah dengan menjaga kepentingan mereka bukan ghairah membantu pemaju.
“Bila tak dapat setuju tentang harga, maka digunakan Akta Pengambilan Tanah,” kata beliau.
Menurut Khalid, beliau difahamkan, bahawa 50% pemilik yang bersetuju dengan harga ini tidaklah setepat yang digambarkan.
“Sebenarnya ada 54 rumah teres yang terlibat tetapi 34 rumah lagi tidak diwartakan.
“Kalau dimasukkan 34 itu, keperluan lebih 50% tidak dipenuhi.
“Adakah itu benar? Kalau ianya benar, nampak sangat bahawa pihak kerajaan, KWP dan Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB) menjadi sebagai, minta maaf, kuda tunggangan pemaju,” kata Khalid menutup usulnya.
BERITA BERKAITAN