Dunia kini menjadi semakin padat dengan pertambahan pesat penduduk saban tahun. Jaminan bekalan makanan merupakan agenda yang sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan. Pada masa ini, industri pemprosesan makanan menyumbang sebanyak 10 peratus daripada jumlah keluaran pengilangan tempatan. Sektor ini didominasi oleh syarikat-syarikat Industri Kecil Sederhana (IKS) yang kebanyakannya dimiliki oleh rakyat tempatan.
Menurut Menteir Perdangaan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed,bagi tempoh Januari hingga September 2015, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan sebanyak 45 projek pemerosesan makanan (termasuk minuman) dengan pelaburan berjumlah RM2.6 billion.
Projek-projek ini dijangka menyediakan 2,570 peluang pekerjaan. Sebanyak 80 peratus atau RM2 billion adalah dari pelaburan tempatan, manakala selebihnya adalah dari pelaburan asing. Meskipun sektor ini dikuasai oleh pelabur tempatan, Malaysia telah berjaya menarik banyak syarikat ternama dunia di dalam rantaian industi makanan untuk melabur di negara ini. Syarikat-syarikat tersebut termasuklah Nestle, Campbell, Dutch Lady dan Hershey.
Selain daripada sektor makanan sejuk beku dan produk koko, industri pemprosesan makanan tertumpu kepada pasaran tempatan. Dengan itu, terdapat banyak peluang yang boleh diambil oleh pelabur-pelabur tempatan dan asing bagi mengembangkan perniagaan dalam sektor ini.
Meskipun usaha-usaha bagi meningkatkan pengeluaran makanan sentiasa diteruskan, Malaysia masih mengimport makanan dari negara luar. Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2015, import produk makanan adalah berjumlah RM14.6 billion sementara jumlah eksport untuk tempoh yang sama adalah sebanyak RM14.7 billion. Ini termasuklah penyediaan dan produk yang boleh dimakan (RM4.3 billion), koko dan produk koko (RM1.3 billion), produk tenusu (RM2.9 billion), gula dan produk konfeksionari (RM2.7 billion) serta sayur-sayuran dan buah-buahan (RM1.4 billion).
Kerajaan sentiasa melipatgandakan usaha untuk mengurangkan kebergantungan Negara terhadap import makanan di samping meningkatkan eskport. Di bawah Bajet 2016, Kerajaan telah melanjutkan insentif cukai bagi pengeluaran makanan sehingga tahun 2020. Insentif ini meliputi pengecualian cukai sehingga 100% untuk tempoh maksimum sehingga 10 tahun.
Kerajaan juga telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 billion lagi di bawah Dana Strategik Pelaburan Tempatan (DISF) dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas. Dana ini bertujuan untuk mempercepatkan peralihan syarikat-syarikat domestik kepada industri yang bernilai ditambah tinggi, berteknologi tinggi, berintensifkan pengetahuan dan berasaskan inovasi.
” Saya juga ingin menarik perhatian di atas Insentif Pelaburan bagi Kawasan Kurang Membangun yang telah diperkenalkan pada Bajet 2015. Syarikat yang diluluskan insentif ini akan menerima pelepasan cukai 100 peratus untuk tempoh sehingga 15 tahun.
“Selain daripada insentif pengecualian cukai dan geran, Kerajaan melalui MIDF turut membantu syarikat-syarikat tempatan mengurangkan kos operasi di samping meningkatkan tahap daya saing dan daya tahan syarikat-syarikat tersebut melalui pembiayaan kewangan.
“Sebagai contoh, pembiayaan pembelian mesin, peralatan, bangunan kilang dan hartanah komersil ataupun bagi kegunaan modal kerja oleh MIDF hanya melibatkan kadar faedah pinjaman tetap serendah 4% setahun. MIDF turut menawarkan tempoh pembayaran balik pembiayaan yang panjang sehingga 25 tahun bagi pembiayaan hartanah komersil.
“Saya dimaklumkan bahawa setakat ini, MIDF telah telah meluluskan pinjaman berjumlah RM1.12 bilion kepada 1,286 usahawan bagi sektor makanan dan minuman,” ujarnya dalam satu kenyataan di Kota Bahru hari ini.
Mustapa berkata, Tidak lengkap sekiranya bercakap mengenai sektor makanan, tanpa menyentuh mengenai industri halal. Industri halal akan terus meningkat seiring dengan pertumbuhan populasi penduduk Islam yang dijangka mencecah 2.6 billion pada tahun 2050 di seluruh dunia. Sehingga kini, 50% dari penduduk Islam menetap di Asia. Bahkan, pengguna bukan Islam juga telah mempercayai produk halal ini kerana dijamin tahap kebersihannya.
Setakat bulan Disember 2014, sebanyak 5,415 syarikat telah diperakui halal di Malaysia oleh JAKIM. Ini menyaksikan peningkatan sebanyak 30.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 34 peratus atau 1,841 syarikat adalah milik bumiputera. Negeri-negeri di Pantai Timur seharusnya berbangga kerana memiliki fasiliti Taman Industri Halal di setiap negeri mereka seperti Taman Halal Pasir Mas dan Taman Makanan Halal Pengkalan Chepa di Kelantan, Taman Halal Terengganu di Terengganu serta Taman Halal ECER Gambang dan Taman Makanan Halal Prima di Pahang.
Dengan meningkatnya penduduk Islam dunia, negara-negara Islam mempunyai kuasa beli yang tertinggi dan digabungkan dengan persijilan-persijilan yang telah didapati (GMP, HACCP Halal), para pengusaha harus menggambil kesempatan sepenuhnya bagi menembusi pasaran eksport.
Tambahan pula, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak akan menjejaskan industri halal kerana terdapat klausa dalam perjanjian tersebut yang memberi pengiktirafan kepada industri ini dan juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Di samping itu, Kerajaan juga akan membangunkan kawasan sempadan Malaysia di Kelantan dengan Thailand bagi menggalakan pelaburan dan perdagangan antara dua negara. Industri makanan adalah industri yang dikenal pasti berpotensi dan kedua-dua negara telah menubuhkan Malaysia-Thailand Halal Business Council (MTHBC) bagi menggalakan industri halal ini. Penubuhan MTHBC ini akan menyediakan platform bagi kedua-dua syarikat di Malaysia dan Thailand untuk berkongsi maklumat, rangkaian peluang perniagaan dan juga menyelesaikan isu-isu berkaitan halal.
Industri makanan telah berkembang dengan amat ketara sejak beberapa tahun dengan teknologi baru dan inovasi seiring dengan pertumbuhan ekonomi global. Kemajuan dalam teknologi pemprosesan telah memperluaskan penggunaan bahan mentah tempatan, memperluaskan rangkaian produk dan meningkatkan pelaburan dalam industri makanan. Kita ingin melihat lebih banyak syarikat tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bergerak lebih jauh dalam rantaian nilai dengan melabur dalam teknologi untuk meningkatkan produktiviti masing-masing.
“Pihak Kerajaan percaya, pembangunan keusahawanan adalah asas yang penting bagi menjayakan aspirasi mentransformasikan Malaysia kepada sebuah ekonomi berpendapatan tinggi serta ke arah ekonomi yang berasaskan pengetahuan dan inovasi.
“Ingin juga saya tekankan di sini bahawa penjenamaan juga adalah satu instrumen yang penting dalam pemasaran sesebuah perniagaan kerana ia dapat menonjolkan imej yang positif bahawa syarikat sentiasa menitik beratkan kualiti produk, kecekapan pengeluaran, mempunyai kredibiliti serta sentiasa mempelopori strategi pemasaran baharu,” ujarnya.