Kerajaan tidak terikat kepada sebarang pandangan atau keputusan yang dibuat Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk VK Liew berkata, ini kerana peranan CEP hanyalah dalam kapasiti penasihat dan tidak mempunyai sebarang kuasa eksekutif.
“Kerajaan sebelum ini (Barisan Nasional) juga melantik banyak advisory body (badan penasihat) seperti advisory bodies on 1Malaysia Development Berhad (1MDB) (badan penasihat tentang 1MDB) dan special advisory on many other bodies (penasihat khas tentang badan-badan lain) .
“Tetapi soal akauntabiliti atau locus standi bagi CEP ini tidak wujud kerana mereka ini hanya bertindak sebagai majlis penasihat yang tidak terikat dengan apa-apa perundangan.
“Isu akauntabiliti adalah terletak kepada jemaah menteri. Laporan yang diberikan kepada kerajaan tidak semestinya binding on the government (mengikat kerajaan),” katanya menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-Rembau) pada sesi soal jawab semala, dipetik Bernama.
Persidangan sebelum itu sedikit kecoh apabila Khairy bangkit mempertikaikan peranan CEP yang didakwanya bukan hanya bertindak sebagai penasihat tetapi juga memberi arahan kepada kerajaan.
Terdahulu, menjawab soalan Khairy mengenai lawatan Pengerusi CEP Tun Daim Zainuddin ke China, Liew menjelaskan lawatan itu adalah atas arahan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Sekiranya diarahkan bolehlah pergi melawat untuk mendapatkan pandangan dan juga isu-isu yang melibatkan kedua-dua negara ini,” katanya.
Liew turut menegaskan kewujudan CEP adalah hanya untuk 100 hari selepas Pakatan Harapan mengambil alih kuasa pentadbiran kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu.
CEP yang ditubuhkan pada 12 Mei lepas setelah Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan baharu, bertindak sebagai penasihat kerajaan berkaitan ekonomi dan kewangan negara ketika proses peralihan kuasa.
Katanya, setakat ini hampir 340 individu daripada 220 organisasi dijemput hadir untukmemberitaklimat atau pandangan mereka agar cadangan yang dibawa CEP turut mengambil kira pandangan sebenar pada peringkat akar umbi.
Sementara itu, Khairy ketika ditemui di lobi Parlimen mencadangkan supaya kerajaan membubarkan CEP dengan serta merta kerana dilihat bukan hanya bertindak sebagai penasihat tetapi mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.
“Kalau mereka (CEP) terus melangkaui tanggungjawab atau peranan mereka sebagai pemberi nasihat kepada kerajaan saya cadangkan supaya dibubarkan terus,” katanya.