Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berada di kalangan masyarakat antarabangsa dan tidak terikat dengan isu domestik negara sahaja kerana itulah keperluan umat Islam sekarang.
Pengkaji politik, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi berkata, ketandusan pemimpin dunia Islam yang berwibawa sekarang memerlukan Anwar sentiasa berada bersama mereka terutama ketika dunia Islam di kancah peperangan sekarang yang sangat memerlukan pemimpin seumpama beliau.
“Peranan beliau terlalu besar sekarang dan menuntut beliau tidak terikat dalam negara sahaja tetapi di dunia.
“Jadi peranan dia (PM Anwar) amat penting ketika perubahan geo politik dunia bergerak pantas,” kata beliau mengulas peranan PM Anwar di pentas antarabangsa.
Sesetengah pihak mengkritik Anwar kerana terlalu kerap berada di luar negara, tetapi bagi Ketua Pegawai Eksektif International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) itu, Anwar perlu berbuat demikian demi ummah.

Kalau selama ini dunia Islam hanya tertumpu kepada Turki, Arab Saudi dan Indonesia, kini Malaysia juga mendapat perhatian khasnya dunia Islam.
“Dan yang menariknya, peranan Anwar telah memberikan impak yang besar kepada dunia Islam dan juga untuk kepentingan Malaysia.
“Sebab itu, kita merekodkan kejayaan demi kejayaan di peringkat hubungan antarabangsa termasuk hubungan dagang.
“Walaupun Malaysia ini negara kecil sahaja tetapi hasil dari apa yang dibuat Anwar di pentas antarabangsa, ia telah memberikan manafaat besar kepada negara,” kata Dr Syed Azman.
Bagi Dr Syed Azman, kejayaan Anwar di peringkat antarabangsa banyak dibantu oleh sejarah aktiviti beliau sebelum ini.
“Dari segi sejarahnya, Anwar sangat aktif di peringkat antarabangsa sejak dari muda lagi samada semasa beliau memimpin Abim, IIFSO (The International Islamic Federation of Student Organizations) dan lain-lain.
“Sejak sekian lama beliau telah membina jaringan antarabangsa iaitu sejak muda lagi sehingga sekarang,” kata Dr Syed Azman.
Atas dasar itu, katanya, kedatangan Anwar ke peringkat antarabangsa di sambut baik oleh dunia.
“Sebab ia adalah keperluan khasnya dunia Islam sekarang ini yang sedang bergolak dan juga di peringkat OIC.
“Ia bertambah lagi apabila Malaysia akan menjadi pengerusi kepada ASEAN tahun depan, menjadikan Malaysia satu nama besar walaupun negara kita kecil sahaja,” katanya menceritakan peranan Anwar di peringkat antarabangsa.
baca: Anwar selesai angkat sumpah PM ke-10 selepas 24 tahun gema Reformasi