Sekumpulan penuntut dari Universiti Malaya (UM) menyifatkan peruntukan yang terkandung dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sebagai undang-undang lapuk dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Hanya kerana mengadakan sidang media berhubung bantahan terhadap pelaksanaan kuota internet di kampus itu pada 14 Disember tahun lalu, enam pelajar terlibat menerima surat daripada pentadbiran universiti.
Menganggap itu sebagai “surat cinta” pertama daripada pihak pentadbiran universiti untuk tahun ini, wakil mahasiswa terbabit, Suhail Wan Azahar berkata, mereka dikatakan telah melakukan kesalahan tatatertib di bawah Kaedah-Kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999 di bawah Seksyen 16C atas dua pertuduhan.
Ujarnya, pertuduhan pertama dalam surat bertarikh 4 Februari itu adalah melakukan representasi media berhubung isu bantahan terhadap pelaksanaan kuota internet di Universiti Malaya tanpa kebenaran pihak universiti.
Pelanggaran tatatertib dibuat di bawah Bahagian II Kaedah 15, dan boleh dihukum dibawah Kaedah 48.
Pertuduhan kedua yang juga berniat tidak baik, jelasnya, kami didakwa kerana merosakkan dan memudaratkan kepentingan, kesejahteraan serta nama baik universiti atas alasan yang sama, mengadakan representasi media tanpa kebenaran pihak universiti. Bacaan pertuduhan dibuat di bawah Bahagian II, Kaedah 3(a)(i), Kaedah-Kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999.
Sehubungan itu, beliau dan lima rakannya yang lain tidak akan pernah sesekali merestui perbuatan songsang dan bobrok kerana menggunakan kuasa sewenang-wenangnya serta tidak jujur dalam membuat keputusan.
“Apakah pihak Universiti tidak tahu bahawa hak kebebasan bersuara telah dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan? Setiap pertuduhan yang dikenakan ke atas kami adalah berniat jahat malah bersifat untuk mematikan langkah kami dalam mengangkat suara dan kebajikan mahasiswa.
“Kami juga percaya, Kaedah 15 ini adalah bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Atas sebab itu kami tegaskan bahawa AUKU ini adalah undang-undang lapuk!” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Suhail berkata, mereka yang dikehendaki hadir ke prosiding pada 15 Februari ini boleh disabitkan hukuman di bawah Kaedah 48 jika didapati bersalah atas mana-mana pertuduhan tersebut seperti amaran; denda RM 200; dilarang mengambil bahagian dalam universiti bagi tempoh yang ditetapkan; digantung pengajian atau dipecat dari universiti.
“Kami melihat ini sebagai satu ujian pertama dalam memperjuangkan hak-hak bersuara dan juga hak-hak kebajikan mahasiswa.
“Sekalipun kami dihukum, kami tidak akan pernah sesekali berundur hatta setapak pun dan hukuman ini mungkin menjadi perangsang untuk kami lebih tabah dan cekal di masa hadapan,” tambah Suhail lagi yang juga Exco Politik dan Hal Ehwal Semasa, Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM).
Lima lagi penuntut UM yang dikenakan pertuduhan sama ialah Ho Chi Yang, Hananie Chow, Muhammad Luqman, Fahmie Nuaiman dan Hun Ti. Kesemua mereka adalah anggota PMIUM dan UM Association of New Youth (Umany).
Dalam sidang media 14 Disember tahun lalu, mereka membangkitkan kesan pemotongan Bajet 2016 ke atas sektor pendidikan yang dilihat mengundang kenaikan tidak munasabah kadar beberapa jenis yuran di UM termasuk caj tambahan untuk kuota wi-fi jika melebihi penggunaan 5GB.