Kerana belum faham, mualaf serah babi kepada ustaz untuk dijadikan korban Aidiladha

Oleh KIM SYAZIE

Bermacam gelagat dan kisah lucu dikongsikan umat Islam sepanjang menyambut Hari Raya Aidiladha.

Namun tidak berlebihan untuk mengatakan kisah ini paling mencuit hati ramai apabila seorang ustaz dikatakan terkejut menerima seekor babi untuk dijadikan haiwan korban.

Peristiwa itu dikatakan berlaku di sebuah daerah di Papua, Indonesia di mana haiwan ternakan itu diberi oleh seorang mualaf yang baru sahaja memeluk Islam.

Menerusi satu video tular, mualaf itu membawa babi berkenaan dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke sebuah masjid.

Kisah unik itu kemudian dengan cepat menjadi perhatian pengguna media sosial.

“Cerita unik dari Papua. Baru (menjadi) mualaf dan belum faham, bawa babi untuk korban,” menurut keterangan pada video tersebut.

Dipercayai mualaf yang mahu menyerahkan babi untuk dijadikan korban itu masih belum memahami ajaran Islam secara menyeluruh.

Menerusi video itu, individu yang merakam kejadian tersebut didengar berseloroh dengan mengatakan haiwan itu boleh dijadikan korban.

Tindakan mualaf itu menyebabkan ustaz berkenaan dilihat kebingungan dan turut sama tertawa. Ini kerana dalam ajaran Islam, daging babi diharamkan untuk dimakan.

Selain Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha merupakan perayaan yang disambut oleh umat Islam bagi memperingati peristiwa Nabi Ibrahim yang bersedia mengorbankan anaknya, Nabi Ismail sebagai mematuhi perintah Allah SWT.

Namun sebelum Ibrahim mengorbankan Ismail, Allah menukarkan puteranya itu dengan seekor biri-biri untuk dikorbankan.

Umat Islam menyambut Aidiladha dengan menyembelih haiwan ternakan seperti unta, lembu, kambing atau biri-biri.

Baca juga: Siap label orang tegur terlebih bijak dan pandai buat penghasutan, netizen terkejut lihat Nabil ‘backup’ member