“Kerana mentua aku nekad cerai, tak sangka pula suami tergamak ugut kerana masalah ini”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak pernah menyangka suami yang dikahwininya tiga tahun lalu tergamak mengugutnya selepas dia menyuarakan hasrat untuk bercerai.

Bukan sengaja mencari pasal, suami kepada wanita dikenali sebagai Alya itu sudah lama tidak menjalankan tanggungjawab yang wajib ke atas isteri dan anak-anaknya.

Lebih mengeruhkan keadaan, ibu dan bapa mentua Alya juga suka mengikut campur dan membuat keputusan bagi pihak anak di dalam masalah rumah tangga mereka.

Sudah tidak mampu menanggung derita sendirian, berikut perkongsian Alya yang nekad ‘meruntuhkan’ rumah tangganya sendiri selepas tiga tahun berkahwin.

“Assalamualaikum semua. Nama saya Alya, berumur lewat 20-an. Sudah berkahwin tiga tahun dan dikurniakan sepasang anak kembar yang kini sudah berusia setahun. Sepanjang tiga tahun ini, perkahwinan kami terasa sangat lama untuk saya tempuh. Semuanya gara-gara mentua dan juga suami.

“Semasa baru berkahwin, kami menetap di rumah mentua di Ipoh. Masa itu tiada lagi rancangan duduk sendiri. Sekadar ikut rentak hidup. Beberapa hari selepas menetap bersama, ayah mentua panggil untuk menegur saya. Dia menasihati saya untuk tidak tidur selepas Subuh. Masa itu saya bangun jam 9 pagi atas permintaan suami.

“Hal ini kerana menurut suami, ibunya bangun pada 10 pagi. Adik-adiknya pula sedar dari tidur pada pukul dua atau tiga petang. Tetapi ayah mertua tidak benarkan saya tidur dan sediakan makanan suami lalu menghantarnya ke pintu kereta. Saya terima teguran itu. Tetapi esoknya, saya terlajak tidur dan terjaga jam 9 pagi.

“Saya fikirkan tiada apa. Jadi saya turun sahaja selepas selesai mandi. Ayah mentua kemudian datang kepada saya dan cakap, ‘bukankah semalam ayah suruh bangun awal, kenapa tak buat?’. Baru semalam tegur, expect satu hari terus boleh ubah ke?Sejak kes itu, saya terus yakinkan suami untuk cari rumah sewa.

“Waktu itu sudah tak kisah, dekat pun janji lain rumah. Suami jumpa, jarak rumahnya 10 minit sahaja dari rumah mentua. Tetapi apabila kami nak pindah, ibu mentua pula merayu pada suami untuk tidak pindah. Akhirnya kami berpindah juga sebab rumah itu masih ada lagi anak-anak lain duduk yang berusia 20-an semuanya.

“Sebaik sahaja pindah ke rumah sewa, bermulalah kehidupan sengsara saya. Setiap hari mentua datang ke rumah dan mengutuk semua keputusan kami di dalam rumah tangga. Malah semua keputusan rumah tangga kami diatur. Termasuklah cat rumah, beli perabot dan bela kucing. Semua mentua tak benarkan.

“Suami pula turutkan sahaja. Sebab suami saya pegang prinsip, wajib taat ibu bapa kalau mahu masuk syurga. Setiap hari selama tiga bulan perkahwinan, mereka akan masuk campur membuat keputusan bagi pihak kami berkaitan rumah tangga. Dari sekecil-kecil hal, sampai sebesar hal. Lagi-lagi perkara yang melibatkan kos.

“Waktu itu, suami bekerja sebagai jurutera manakala saya suri rumah. Sewa rumah kami hanya RM500. Komitmen suami hannyalah kereta, bil api dan air serta nafkah. Perabot mentua yang sediakan. Saya berasal dari keluarga susah. Tetapi saya juga memiliki kediaman impian. Mahu rumah bertemakan Muji (minimalis).

“Saya sudah cakap kepada suami. Sebab tak mahu bebankan suami, saya minta dia beli satu barang dalam satu masa sahaja. Bukan Muji yang mahal. Saya minta beli di Shopee. Rak televisyen jenis kayu baru RM80. Karpet pula RM30. Semua yang murah sahaja. Tetapi mentua tak setuju. Saya boleh terima lagi yang itu.

“Mentua juga mahu saya mengandung cepat. Selepas mengandung, ke mana sahaja saya pergi mereka mahu tahu. Walaupun masa itu saya balik kampung. Sehinggakan kadang-kadang saya ada sahaja di rumah, tetapi minta suami rahsiakan. Sebabnya, saya terlalu tertekan dengan mentua.

“Mereka terlalu mengatur dan campur hal kami berdua. Sudahlah hampir setiap hari perlu pergi rumah mereka. Hari minggu juga mahu atur ke mana sahaja kami pergi. Pernah suatu ketika, saya dapat izin suami untuk pulang ke kampung. Ayah mentua terus telefon minta saya pulang dan jangan tinggal suami. 

“Kata mentua, siapa nak jaga makan minum anak dia. Saya diam sahaja dan tetap di kampung selama beberapa hari untuk lepas tekanan duduk di dalam golongan toksik ini. Akibat terlalu tertekan, akhirnya kandungan saya gugur. Mentua datang ke rumah dengan muka hampa. Tanya apa yang saya makan sampai gugur anak.

“Mereka minta suami bersabar apabila saya beritahu yang doktor minta berehat dari mengandung sekurangnya enam bulan. Padahal suami langsung tak kisah sebabnya masa saya mengandung, dia layan macam orang biasa. Suruh saya urus rumah, cuci lantai, angkat berat dan minta isteri dia ini bersukan berat.

“Namun tiga bulan kemudian, saya mengandung lagi. Kali ini saya nekad kurangkan bertemu mentua untuk elak tekanan. Dari berjumpa seminggu dalam tiga ke empat kali, kurang ke satu atau dua kali seminggu. Emosi lebih stabil ketika itu. Sehinggalah hampir waktu hampir bersalin, mentua tanya saya mahu berpantang di mana.

“Saya maklumlah mahu berpantang di kampung. Mentua kata saya tak fikir panjang sebab kampung panas. Katanya anak-anak tak tahan panas. Adakah ini bermakna orang kampung tak boleh ada anak sebab tak mampu beli penghawa dingin? Saya abaikan sahaja sehingga selamat melahirkan. 

“Ketika keluar hospital, ingatkan anak bolehlah ikut sekali. Ibu bapa saya datang dari Kampung Gajah nak ambil untuk berpantang di rumah mereka. Apabila mentua tahu, mereka terus cakap nak tolong ambil saya. Mahu bawa balik ke rumah mereka. Mak ayah saya akur kerana malas bergaduh.

“Tetapi nak dijadikan cerita, anak-anak kena demam kuning. Doktor terpaksa tahan di hospital. Jadinya saya seorang yang dapat keluar. Tiba-tiba, suami sahaja yang datang. Saya tanya mana mentua. Katanya tak jadi datang sebab cucu mereka tak keluar sekali. Berebut nak ambil saya, tetapi tak jadi apabila bayi tak keluar.

“Kereta suami pula memang sudah lama pasang dua kerusi bayi. Jadinya memang kami tak perlukan pengiring. Tetapi macam saya katakan, mentua terlalu ingin cucu. Sedangkan mak ayah saya juga meraikan cucu pertama. Dua minggu saya dan anak di tahan di hospital dengan perut bekas pembedahan.

“Aku kena jaga anak-anak sendiri di wad bayi. Tiada langsung panggilan dari mentua bertanya khabar. Mereka hanya minta gambar cucu. Ketika di hospital, barulah saya tahu ayah mentua ada telefon mak beritahu yang saya tolak ajakan mereka pantang di rumah dia. Katanya, rumah dia lebih selesa untuk cucu-cucu.

“Ayah mentua cakap dekat mak saya yang rumah dia lebih besar dan ada penghawa dingin. Mentua memang kaya, tetapi mereka suka sangat merendah-rendahkan saya dan keluarga yang sederhana. Apabila bertemu keluarga saya, mentua gemar cerita tentang bercerita tentang hartanya. Saya marah sangat ketika itu.

“Saya bertegas dengan suami minta hantar ke kampung sebaik dibenar keluar dari hospital. Mentua pula tetap nak ikut juga. Sampai sahaja, ayah mentua bersembang dengan ayah saya berdua di satu sudut. Selepas mereka pulang, ayah maklumkan kepada saya yang ayah mertua rancang besarkan cucu-cucu di rumahnya.

“Saya dan suami langsung tak tahu idea ini datang dari mana. Langsung tak minta persetujuan kami. Sedangkan kami ada rumah sendiri. Saya juga tidak bekerja. Nak dijadikan cerita, saya dapat kerja di kampung. Terus rancangan mentua termati di situ. Ketika itu juga, saya dan suami dalam proses bercerai.

“Saya sudah tidak tahan dengan campur tangan mak ayah dia. Suami melafaz taklik akan ceraikan saya jika mak ayah dia masuk campur lagi. Maka kami melalui proses pengesahan lafaz cerai kerana telah berlaku campur tangan. Memang nekad mahu bercerai kerana suami tak pernah pertahankan maruah saya.

“Selama tiga tahun perkahwinan, say direndahkan mak ayah dia. Ditengking didepan suami. Privasi diceroboh, malah anak-anak saya juga mereka mahu kawal. Ditambah pula dengan suami yang sentiasa menangkan mak ayah dia. Sama sekali tak pernah suami berdiri untuk saya. Suami mahu anak-anak.

“Kata suami, dia yang menafkahi. Padahal ketika persediaan barang anak-anak, 95 peratus duit simpanan saya. Suami langsung tak ambil tahu pasal anak. Saya pergi buat pemeriksaan pun sendiri. Saya pula tiada lesen. Usung perut yang ada dua bayi menaiki kenderaan e-hailing dengan grab. Kos ditanggung sendiri.

“Daripada perbelanjaan Klinik Kesihatan sampai kos pengangkutan ke tempat kerja, saya yang tanggung sendiri selama enam bulan. Apabila bercerai, mahu anak-anak pula. Dia ugut takkan nafkahi anaknya jika saya dapat hak penjagaan. Ayah mentua hubungi saya ketika kami dalam fasa naik turun mahkamah.

“Saya masa itu berada di Kampung Gajah manakala suami di Ipoh. Waktu dihubungi, ayah mentua cakap dengan ayah saya. Minta maaf kerana katanya, selama ini dia masuk campur rumah tangga saya dan suami. Selain mengakui pernah menengking diri ini, ayah mentua sempat cakap saya menyusahkan anak lelaki dia.

“Ini dari segi kewangan kerana suami perlu berulang Ipoh-Kampung Gajah (datang dua kali sebulan tengok anak). Ayah mentua minta saya pulang menetap bersama suami kerana dia mahu dekat dengan cucu. Ayah mentua juga cakap saya ada suruh dia minta maaf yang mana ia satu fitnah.

“Ingatkan ayah mentua ikhlas minta maaf. Jadi esoknya saya menghubungi dia untuk berdamai. Kononya nak betul sekali fahaman dia tentang ‘menyusahkan anak secara kewangan’. Tetapi apabila saya telefon, ayah mentua cakap bila masanya dia masuk campur. Katanya ambil berat sahaja. Elok-elok nak maafkan, jadi panas balik.

“Naik gila saya cakap dengan ayah mentua. Saya sampaikan berjumpa dengan dua ke tiga peguam dan pergi kaunseling di pejabat agama untuk pastikan yang apa dia buat itu ‘ambil berat’ atau ‘masuk campur’. Ayah mertua memang suka pusing cerita sampai kita rasa diri yang salah.

“Mengenai kewangan, saya sebaliknya beritahu ayah mentua bahawa anak dia yang menyusahkan isteri dia. Saya melahirkan anak pun bayar sendiri. Barang anak-anak pun saya beli. Malah, suami pinjam duit saya beribu walaupun dia jurutera. Selama sembilan bulan hamil, sekali pun suami tak pernah bawa saya makan sedap. 

“Langsung tiada beli apa-apa untuk saya. Kos pergi keja pun saya tanggung sendiri. Makan minum sahaja suami beri seratus sebulan untuk makan di pejabat. Itu pun tak dapat simpan duit untuk beli barang anak. Ayah mentua terdiam ketika saya beritahu bahawa anak dia yang menyusahkan saya secara kewangan dan emosi.

“Tetapi ayah mentua masih paksa saya untuk tidak bercerai. Paksa juga saya balik ke Ipoh segera, suruh jaga anak laki dia. Katanya terumbang-ambing hidup. Waktu saya duduk dekat, mereka sibuk nak urus anak laki. Makan minum anak, setiap hari nak sediakan. Demam pun mereka nak jaga. Jadi suruh saya balik buat apa?

“Sekarang saya dan suami tergantung kerana tak pasti taklik sah atau tidak. Terus terang cakap, saya sudah tak mampu hidup dengan mentua dan suami. Saya minta suami cari kerja di negeri lain agar hubungan dengan mentua sembuh sendiri apabila jarang berjumpa. Tetapi suami bertegas nak duduk dekat.

“Saya memang tawar hati habis dengan mentua dan suami. Saya cakap pada ayah mentua, inilah sikap suami yang diri ini tak tahan sangat. Dalam saya cakap dia suka masuk campur, tetap juga nak bunyi. Sedangkan privasi keputusan anak yang sudah berkahwin sepatutnya jadi hak kami suami isteri.

“Kami tak perlu merayu pun sebenarnya untuk dihormati privasi. Jawabnya, saya tak boleh harap mentua dengar cakap menantu. Sebabnya menantu yang perlu belajar dengar cakap mentua. Kena belajar beradaptasi. Perlu terima mereka memang suka masuk campur? Allah. Saya suruh suami kahwin lain. Memang saya izin. 

“Saya tak tahan sangat. Sebab suami taknak lepaskan walaupun saya nak bercerai. Dia siap ugut tak mahu nafkahi anak. Mereka pula banyak duit. Mungkin juga mereka akan pastikan anak-anak tak jatuh ke tangan saya. Jujur, saya letih dengan hidup ini. Tetapi saya pasti selama mana mereka susahkan saya, Tuhan akan membalasnya.

“Kemurungan saya angkara mereka. Saya kehilangan anak pertama kerana mereka. Saya kehilangan maruah diri di depan mereka. Saya hilang suami yang sepatutnya melindungi. Saya nak minta pendapat semua. Saya sudah tidak mampu tanggung sendiri.“ Kongsi Alya (Bukan nama sebenar) menerusi laman luahan atas talian.

Baca juga: “Masa kecil lagi bapa dah terbiasa maki anak, bila kami dewasa dia mula layan mak macam sampah, siap meludah lagi”