Peningkatan jumlah penularan COVID-19 tertinggi dicatatkan pada 29 Januari lalu apabila mencapai lebih 5,000 mangsa. Dijangkakan angka ini akan terus meningkat berdasarkan keupayaan barisan hadapan yang semakin lemah dan lesu serta ketidakjelasan arahan kerajaan untuk menangani penularan wabak.
Sekali imbas, memang sudah sepatutnya peningkatan penularan ini menjadi noktah kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Tetapi seperti biasa, dalam amalan politik di Malaysia, jalan keluar kepada mana-mana ahli politik yang memegang jawatan penting hanyalah melalui kekalahan dalam pilihan raya.
Selain daripada itu, pekiklah sekuat-kuatnya sampai terkeluar anak tekak, soraklah seramai-ramainya sampai penuh Dataran Merdeka tetapi hakikatnya, ahli politik di Malaysia ini mempunyai kepakaran untuk menjadi pekak badak.
Mereka tidak akan pernah peduli dengan segala pekikan dan sorakan yang membingitkan. Alasan yang digunakan, ‘perjuangan belum selesai’ untuk membolehkan mereka berundur daripada jawatan tersebut.
Oleh itu, hairan juga rasanya apabila masih ada ahli politik yang gagal memahami amalan budaya politik Malaysia seperti ini. Hampir mustahil mana-mana pemimpin negara untuk tunduk kepada desakan meletak jawatan.
Najib Razak semasa jadi perdana menteri dahulu pun pernah didesak letak jawatan lewat skandal 1MDB didedahkan. Seluruh dunia tahu tentang kisah ini.
Tidak sedikit yang mendesak beliau meletak jawatan sehingga Tun Dr Mahathir Mohamad muncul sebagai pengkritik utama beliau. Muhyiddin Yassin pun turut serta menyebut perkara ini semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU).
Mahathir turut mengkritik Najib yang dilihat begitu tunduk kepada kuasa besar China apabila banyak projek yang dianggap berisiko kepada kedaulatan negara telah berlangsung di bawah pentadbiran Najib.
Tetapi Najib Razak tetap buat tidak endah dengan gesaan tersebut malah dibalas ‘kepala bapak kau’. Maka, sudahnya Pakatan Harapan (PH) menunjuk jalan keluar kepada Najib dan BN melalui keputusan PRU ke-14.
Apabila Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, beliau berjaya menjadikan usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani COVID-19 sebagai persembahan terbaiknya kepada rakyat.
PH pun kelihatan agak tergencat pada ketika itu apabila PN melakar profil kejayaan apabila mampu mengawal gelombang kedua COVID-19 melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu.
Tetapi dengan gelombang ganas ketiga pada September lalu, Muhyiddin kembali meniti jalan berliku untuk memimpin negara. PH pula agak bersemangat untuk menghadapi PN dan BN ketika itu.
Namun demikian, walaupun keadaan berliku untuk Muhyiddin tetapi dia beruntung kerana nasib masih menyebelahi diri dan kerajaannya. Nasib memang aspek terpenting dalam politik.
Banyak ahli politik yang mampu mengatur pelbagai strategi untuk menjatuhkan pihak lawan tetapi nasib masih berperanan besar pada akhirnya.
Pakatan Rakyat (PR) dulu memiliki strategi terbaik untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. Hampir semua pihak yakin BN akan ditumbangkan dan tampuk kekuasaan di Putrajaya akan beralih.
Tetapi takdir menentukan sebaliknya. BN diselamatkan oleh nasib dan strategi yang agak tempang walaupun jangkaan banyak pihak adalah PRU13 adalah titik kejatuhan parti pemerintah itu.
Demikian juga dengan Muhyiddin. Walaupun kepimpinannya pincang, kabur hala tuju dan lebih banyak merosakkan. Kariernya belum berakhir kerana diselamatkan oleh nasib.
Antara nasib yang menyebelahinya adalah ketidaktentuan PH dalam menentukan gelombang kebangkitan akibat pertengkaran pasang-surut Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad.
Perpecahan dalaman Umno juga kini semakin menunjukkan keretakan ketara apabila muncul suara-suara kecil tetapi berterusan yang mendesak Ahmad Zahid Hamidi daripada jawatan presiden parti itu.
Walaupun merupakan parti terkecil dalam PN, tetapi apa yang penting adalah, Bersatu merupakan parti yang paling stabil. Inilah kunci penting yang harus difahami oleh sesiapa sahaja.
Biarlah negara hiruk-pikuk tetapi selagi parti pemerintah tidak digugat daripada dalam, tiada apa yang perlu digusarkan.
Umno mungkin ancaman kepada Bersatu tetapi Muhyiddin tahu di mana letaknya ‘Tumit Achilles’ parti Melayu itu. Sebagai pemimpin yang lama berkecimpung dalam Umno, Muhyiddin cukup arif dengan selok belok kelicikan politik Umno.
Pas pula parti paling mudah dijinakkan. Jenama Islam yang dijadikan laungan sepanjang zaman mudah ditundukkan dengan pelbagai ghanimah berbentuk jawatan yang menjanjikan elaun lumayan.
Lambakkan apa sahaja isu terkini yang menyentuh sentiviti umat Islam, Pas lebih banyak membisu daripada bersuara. Paling mudah isu cabutan nombor ekor yang meningkat semula kepada 22 kali setahun. Apa kesudahannya kini?
Kini, hampir tidak kedengaran suara-suara dalam Pas yang menggugat Bersatu kerana bagi parti konservatif ini, apa yang utama adalah mempertahankan kerajaan Melayu-Islam walaupun hakikatnya bangsa dan penganut agama inilah yang paling teruk terjejas di bawah pentadbiran PN.
Untuk latar belakang semasa seperti ini, maka Muhyiddin tidak perlu peduli dengan kenyataan terkini mengenai kedudukan Malaysia yang merosot berdasarkan indeks persepsi rasuah.
Muhyiddin juga tidak perlu kisah dengan gertakan Umno seluruh negara yang ingin memutuskan hubungan dengan Bersatu menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15.
Muhyiddin hampir tidak khuatir dengan kegagalan PKP 2.0 untuk melandaikan lekuk penularan COVID-19 yang semakin menggila.
Apa yang penting untuk difahami oleh Muhyiddin kini adalah tiada siapa yang berpotensi dan berpengaruh untuk menjatuhkan kedudukannya ketika ini. Tiada pembangkang atau musuh dalam selimut yang mampu menggugat Muhyiddin.
Untuk tempoh masa terdekat, nasib untuk Muhyiddin akan kekal selamat jika Parlimen dibubarkan.
Arif Juhani, bekas wartawan Harakah dan Suara Keadilan