Kereta api laju KL-Singapura masih dalam perbincangan

Oleh BORHAN AHMAD

Jajaran laluan rantaian kereta api berkelajuan tinggi (HSR) sepanjang lebih 300 kilometer antara Singapura dan Kuala Lumpur, masih lagi dalam peringkat perbincangan, demikian menurut laporan berita yang memetik Kementerian Pengangkutan (MOT) Singapura.

Kementerian itu berkata jajaran itu akan hanya dimuktamadkan selepas kajian terperinci ke atas aspek kejuruteraan, selesai.

“Selepas proses Permohonan Maklumat (RFI) selesai pada Disember 2015, kedua-dua negara kini mengkaji maklum balas secara terperinci dan akan menggunakannya bagi menambah baik model komersial dan operasi projek itu selain pendekatan pemerolehan,” kata MOT.

Kementerian itu berkata kedua-dua negara sedang mengkaji kemungkinan melaksanakan dua perkhidmatan berbeza dalam rangkaian HSR merentas sempadan antara Singapura dan Kuala Lumpur itu.

MOT berkata Singapura dan Malaysia masih dalam proses perbincangan ke atas model komersial dan operasi projek itu yang berkemungkinan meliputi perkhidmatan ekspres tanpa henti antara Kuala Lumpur dan Singapura dan perkhidmatan transit yang singgah di beberapa stesen.

“Singapura mencadangankan perkhidmatan transit, yang akan singgah di beberapa stesen di Malaysia, sekali gus memberi kemudahan terutama kepada pengguna di Malaysia, diurus secara berasingan daripada perkhidmatan ekspres tanpa henti,” kata jurucakap kementerian itu dipetik sebagai berkata.

“Ini akan memberikan autonomi perkhidmatan transit kepada Malaysia untuk memenuhi keperluan domestiknya, manakala kedua-dua negara bekerja bersama-sama ke atas perkhidmatan HSR merentas sempadan,” katanya.

The Edge Financial Daily pada Isnin melaporkan bahawa kedua-dua kerajaan Malaysia dan Singapura sudah mencapai kata sepakat ke atas jajaran HSR itu.

Akhbar itu melaporkan bahawa kedua-dua kerajaan sudah memutuskan dua perkhidmatan terbabit.

“Kami merancang memulakan dua perkhidmatan – perkhidmatan terus ke Singapura, dan satu lagi, perkhidmatan transit akan berhenti di Bandar Malaysia, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Nusajaya, dan (menyeberangi tambak) ke Singapura … walaupun ada perkhidmatan transit, kita akan ada perkhidmatan ekspres tanpa henti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp Sdn Bhd Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal dipetik sebagai berkata.

MyHSR Corp ialah syarikat yang bertanggungjawab memajukan dan mempromosikan projek HSR.