Perjalanan hari pertama menghantar anak ke sekolah bertukar cemas apabila seorang bapa tiba-tiba terbau benda hangit ketika memandu kereta.
Segera bertindak untuk berhenti di bahu jalan, pengguna jalan raya lain turut mengesan asap mula keluar di bahagian depan kereta.
Empat orang anaknya yang masih bersekolah, berusia enam hingga 17 tahun segera keluar dari kereta mencari perlindungan.
Pemandu Nissan Livina yang berusia 44 tahun itu pula segera bertindak menelefon talian kecemasan Mers 999 untuk mendapatkan bantuan.
Malang tidak berbau, perjalanan yang dimulakan di pagi hari itu berakhir dengan tragedi apabila kereta yang dinaiki mereka hangus dijilat api.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Mohd Zulfadzli Osman berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.20 pagi.
Anggota bomba segera ke lokasi iaitu berdekatan dengan sebuah lampu isyarat di Chembong, Rembau, Negeri Sembilan untuk memadamkan kebakaran.
“Pemandu menyatakan setibanya berhampiran lampu isyarat tersebut, dia terbau benda hangit dan segera ke bahu jalan.
“Penunggang motosikal yang turut sama di lokasi mendapati ada asap di bahagian hadapan kereta,” katanya semalam.
Menurutnya, semua mangsa selamat, tetapi kenderaan itu terbakar hampir 90 peratus dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Baca juga: PBT janganlah ‘keras’ sangat pada penjaja kecil, berpada-pada ambil tindakan