Bukan sesuatu yang lazim melihat wanita di sebalik stereng lori atau treler, mengharungi perjalanan jauh sambil mengendalikan kenderaan bertan-tan berat.
Namun, semakin ramai wanita hari ini memilih untuk menceburi bidang yang suatu ketika dahulu dikuasai kaum lelaki ini.
Walaupun dipandang pelik, dipersoal dan kadangkala dipandang rendah, mereka tetap cekal memandu demi mencari rezeki yang halal.
Ada yang melakukannya kerana minat, dan tidak kurang juga kerana tuntutan hidup, terutama dalam menyara keluarga dan anak-anak yang bergantung harap.
Memetik Harian Metro, ibu tunggal yang bekerja sebagai pemandu treler, Irzunika Idris memilih pekerjaan ini demi menyara anaknya selain berkongsi bapanya juga seorang pemandu lori.
“Ada yang persoalkan kenapa kerja dalam bidang ini sedangkan saya perempuan tapi saya teruskan kerana minat dan niat nak cari duit untuk menyara anak.
“Ayah dulu pemandu lori…jadi saya terinspirasi dan datang minat jadi pemandu lori sebab tengok ayah.
“Saya pun suka buat benda yang lasak jadi kerja ini memang kena dengan jiwa saya. Mulanya emak risau juga bila saya kata nak jadi pemandu lori dan tanya kenapa buat kerja lelaki.
“Tapi saya yakinkannya dan sekarang emak sudah okay kerana nampak saya serius,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Jelas wanita berusia 39 tahun itu, masanya banyak dihabiskan atas jalan raya dan ini menyebabkan dia sering berjauhan dengan dua anaknya
“Balik rumah pun dalam satu hingga tiga jam dulu sebelum keluar semula pergi kerja.
“Begitulah rutin harian saya dan bila memandu sendirian, sedih juga memikirkan anak tapi mereka faham… syukur juga kerana emak bantu jaga anak waktu saya tiada di rumah.
“Itu cabarannya tapi yang seronok bila dapat pusing merata negeri seterusnya merasai makanan di tempat orang,” katanya.
Dalam masa sama dia berharap perkongsiannya di TikTok dapat menyuntik semangat wanita lain untuk meneruskan apa sahaja kerjaya tanpa memikirkan perspektif orang lain.
“Nak teruskan kerana kerjaya sebagai pemandu treler sudah sebati dengan saya malah hasil pendapatan itu juga dapat belikan anak apa yang mereka mahu.
“Minat itu juga sebabnya saya kongsi video rutin kerja di TikTok selain nak beri inspirasi kepada wanita lain.
“Ramai beri maklum balas positif dan tanya macam mana nak jadi pemandu tapi ada juga kecam serta persoalkan hanya kerana saya wanita,” katanya.
Apa yang penting bukan jenis pekerjaan dilakukan, tetapi keikhlasan dalam mencari rezeki yang halal.
Selagi ada kudrat, selagi itu mereka akan terus bergerak demi keluarga, maruah, dan masa depan yang lebih baik.
Baca juga: Fattah Amin doakan Amira Othman cepat sembuh, hadiahkan sejambak bunga tulip?