
Kerja-kerja menyedut air banjir di kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam yang masih bergenang terpaksa dilakukan secara manual ekoran masalah kerosakan pada pintu air.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim berkata, minyak diesel diperlukan untuk menggerakkan pam-pam air kerana ketiadaan bekalan elektrik akibat banjir.
“… nak buka pintu air tapi ada masalah sebab rosak. Jadi, tidak boleh dibuka.
“Sekarang ini terpaksa kita buat secara manual untuk naikkan pintu air kerana ada yang bengkok.
“Jadi, kita buka semua pam supaya air lebih cepat mengalir (ke Sungai Klang),” katanya dalam klip video TikTok rasmi beliau.
Semalam, beliau yang juga Adun Pandan Indah meninjau operasi kunci air dan rumah pam di Taman Sri Muda, kawasan paling teruk terjejas melibatkan kira-kira 4,000 kediaman.
“Walaupun ada masalah kerosakan pada pintu air dan tiada bekalan elektrik untuk pam tetapi kita mengambil langkah alternatif dengan menggunakan genset diesel,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Lawatan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor itu, kata Izham, untuk memastikan air surut lebih cepat dengan mengoperasikan semua pam sedia ada di rumah pam tersebut.
Dalam masa sama, beliau memberitahu media hari ini, kerajaan negeri sejak malam tadi sudah menerima beberapa pam air daripada pihak luar termasuk JPS negeri-negeri lain serta Kerajaan Persekutuan.
“Pam-pam ini kemudian dihantar ke lokasi yang memerlukan seperti Jalan Kebun Bunga dan Batu Tiga serta Taman Sri Muda. Kerja-kerja pengepaman air bermula sejak malam tadi,” dipetik BH.
Menurutnya, lebih 50 pam air digunakan bagi tujuan itu di Klang sahaja.
Selain itu, kata Izham, lebih 400 daripada kira-kira 900 ke 1,000 pencawang elektrik di Selangor setakat semalam masih gagal beroperasi semula akibat banjir.
Hujan luar biasa sejak pagi 17 Disember lalu menyaksikan Taman Sri Muda di selatan Shah Alam yang terletak dalam lembangan Sungai Klang ditenggelami banjir.
