Kerjasama Umno-PAS : PAS tidak lagi relevan dalam kelompok DAP Selangor

Oleh MALAYSIADATELINE

 

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Selangor disaran mengikut jejak rakan mereka di Pulau Pinang dengan tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan sebaliknya bekerjasama dengan Umno, demikian saranan Penyelaras Ahli Dewan Undangan Negeri , Barisan Nasional di Selangor, Mat Nazari Ahmad Dahlan.

Malah Mat Nazari menjelaskan inilah masanya kepimpinan tertinggi PAS dan semua lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di negeri itu, mengambil peluang untuk bekerjasama dengan Umno dalam menghadapi pilihanraya akan datang.

Dengan gabungan Umno -PAS menjadikan gabungan parti politik bertunjangkan Melayu dan Islam ini memenangi lebih banyak kerusi di negeri yang dikuasai Pakatan Harapan .

“Di Selangor PAS ditekan oleh DAP dan tidak dilihat relevan lagi di dalam kelompok DAP. Ini kerana ada usaha parti itu cuba memisahkan PAS daripada pentadbiran negeri dengan berhajat untuk menandingi lapan kerusi yang akan ditandingi PAS.

“Kami Umno Selangor mengalu-alukan kehadiran PAS secara bersama sebagaimana kejujuran Presiden Umno dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Umno tiga hari lalu. Seharusnya ia perlu disambut baik oleh semua kepimpinan PAS seluruh negara.

“Kita harap pemimpin PAS bersikap terbuka dan mempunyai kesanggupan menuju ke arah perpaduan ummah,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Naib Pengerusi Ketua Perhubungan Umno Negeri ini juga berkata, beliau melihat keikhlasan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengadakan hubungan kerjasama dengan PAS diantara dua parti terbesar orang Melayu di negara ini

“Dalam mencapai kesepakatan ini sebenarnya bukan sahaja untuk memenangi kerusi pilihanraya sebaliknya juga untuk membawa agenda Melayu dan Islam ke tahap lebih baik di negara ini,” ujarnya.

Menjawab soalan kesediaan PAS bekerjasama hanya berlaku sekiranya Umno kembali amalkan Islam dalam kehidupan dan perjuangan parti, Mat Nazari yang juga Adun Batang Kali ini menjelaskan, walaupun dasar PAS lebih Islamik, pemimpin PAS perlu memahami dalam perlembagaan parti Umno juga memperjuangkan Islam.

“ Umno tidak ketinggalan dalam memperjuangkan Islam .

“ Jika pemimpin PAS nak kata pemimpin dan ahli Umno kena kembali amal hidup dan perjuangan Islam, kita lama dah perjuangkan nasib bangsa untuk martabatkan orang Melayu dan dalam masa sama juga memartabatkan Islam,” ujarnya.

Pada November lalu, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dilaporkan berkata parti itu sudah bersiap sedia bertanding di lapan kerusi Dun PAS di Selangor.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, perkara itu akan diperhalusi dalam mesyuarat Pakatan Harapan Selangor terlebih dahulu.

Beliau berkata, mereka masih kekal dalam pentadbiran kerajaan Selangor kerana mahu meneruskan kelangsungan gabungan pembangkang baharu Pakatan Harapan bersama Parti Keadian Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) tanpa PAS.

Malah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga menyokong keputusan DAP Selangor yang mahu bertanding merebut kerusi PAS di negeri itu.