Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali meramalkan kerjasama Umno-PAS tidak akan berlaku melainkan selepas Pilihanraya Umum ke 14 (PRU-14).
Beliau mencongak pandangan politiknya, pertemuan dua pemimpin utama parti itu pada Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia baru-baru ini, adalah ‘permainan’ politik jangka pendek semata-mata.
Katanya Umno memerlukan sokongan PAS dalam menghadapi krisis kepimpinan dalam parti itu manakala PAS pula dilihat sedang menguji keikhlasan Umno.
“Kerjasama politik mungkin akan berlaku selepas PRU-14, apabila semua parti tidak mempunyai bilangan kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
“Ketika ini Umno-BN akan bina kerjasama dengan PAS untuk mentadbir negara,” katanya.
Ibrahim berkata, kerjasama itu tidak akan terjalin, kerana Umno merupakan tulang belakang Barisan Nasional (BN) yang mempunyai parti komponen MCA dan Gerakan yang vokal membantah pelaksanaan hukum hudud jika kerjasama itu berlaku.
Tambahnya, Presiden PAS juga perlu mendapatkan persetujuan daripada pucuk pimpinan parti (Majlis Syura), berbanding Umno yang hanya menyokong apa sahaja tindakan pucuk pimpinannya, Presiden.
Tegasnya kerjasama yang boleh terjalin untuk kedua-dua parti itu adalah kerjasama sesama umat Islam ke arah jalinan ukhwah Islamiah sahaja.
“Saya yakin tiada kerjasama politik antara Umno dan PAS. Ini adalah permainan politik jangka pendek.
“Saya tidak percaya Umno dan kepimpinan akan menyokong hudud yang dibawa PAS.
“PAS juga sudah nyata dan jelas dasarnya dengan perjuangan Islam, termasuk hudud yang mesti disokong Umno,” katanya pada Persidangan Khas Tahunan Wira Perkasa Malaysia 2015, di Kelab Sultan Sulaiman, hari ini.