Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) perpendirian positif pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam usaha untuk mewujudkan kerjasama antara dua parti besar bertunjangkan Melayu dan Islam di negara ini, pada Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar 2015 di ibu negara, Khamis lalu.
Naib Presidennya, Syed Osman Syed Mansor berkata, sekiranya kerjasama ini benar-benar dapat direalisasikan bermakna hasrat Perkasa selama ini untuk melihat dua parti terbesar orang Melayu ini sepakat sudah tercapai.
“Sama ada ianya akan membentuk satu gagasan formal atau sekadar kerjasama, itu adalah soal teknikal,” katanya ringkas selepas merasmikan Persidangan Khas Tahunan Wira Perkasa Malaysia 2015, di Kelab Sultan Sulaiman, hari ini.
Syed Osman juga berkata,jika kerjasama antara dua parti politik itu berlaku untuk perjuangan tiga prisip iaitu , Alif Ba Ta (agama, bangsa dan tanahir), Perkasa pasti akan menyokong usaha kerjasama itu. Menurutnya, kerjasama tersebut dilihat dapat memberi kuasa politik kepada kuasa teras negara.
Dalam pada itu, Syed Osman dalam ucapannya turut menyindir Umno kerana tidak membenarkan Timbalan Presidennya merasmikan persidangan tiga sayap parti itu, dalam perhimpunan agung parti itu baru-baru ini.
“Perkara ini katanya tidak berlaku dalam Perkasa. Kita memberi peluang kepada ahlinya atau perwakilan untuk bercakap menggunakan adab yang betul.
“Apabila bercakap, perlu ada pertimbangan dan baru nampak keikhlasan.
“Kita Perkasa ini lain sikit daripada pertubuhanlain apabila seorang naib presiden boleh rasmikan mesyuarat sayap. Ada sesetengah pertubuhan sehingga timbalan presiden pun tidak boleh merasmikan sayapnya.
“Perkasa nampaknya kita boleh tepuk dada, bangga, angkat bakul kerana kita adalah sebuah pertubuhan yang inklusif, benar-benar inklusif sehingga naib presiden boleh merasmikan mesyuarat sayapnya,” katanya.
Persidangan Khas Tahunan Wira Perkasa ini juga turut mengadakan protes untuk menentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di hadapan Dewan Kelab Sultan Sulaiman petang tadi.
Protes ini diketuai Ketua Pemuda Wira Perkasa,Irwan Fahmi yang mana ia mewakili lebih kurang 400 perwakilan dan pemerhati Wira Perkasa di seluruh negara.