Kerjasama Umno- PAS bukan satu titik temu antara dua yang bertarung, tetapi sebuah perlumbaan dan persaingan yang lebih sihat dan terbuka, kata, Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Aziz.
Justeru beliau berkata, semua jentera PAS mestilah segera dengan amal yang berterusan dan jihad yang besar demi memenuhi harapan negara untuk melihat umat Islam yang semakin berpegang teguh pada tali Allah
Mereka di minta untuk bersatu padu dan tidak berpecah belah dalam membangunkan negara.
“Semoga PAS semakin mendekati al Quran dan Sunnah nabi-NYA. Semakin dekat, semakin menyinsing fajar kemenangan Islam,” ujarnya sebagaimana dipetik daripada facebooknya hari ini.
Malah Ketua Pemuda Pas itu juga cuba menyatakan mengenai keikhlasan kedua-dua parti dalam kesungguhan mereka untuk menjaga kepentingan agama dan rakyat.
Dalam nama puitis beliau menulis:”Kerjasama masih di mulut. Langkahnya keikhlasan, kesungguhan dan keberanian bertindak untuk kepentingan agama dan rakyat.
“Politik menaburkan janji. Seperti bunga-bunga yang memutikkan buah.Semuanya indah. Tetapi yang meranum takkan sebanyak yang berguguran.
“Semua berhak berlumba mengota janji. Keikhlasan hukumannya tertangguh sehinggalah pembohongan terserlah di sebalik tanaman tebu di bibir mulut.
“PAS dan UMNO, pada angin janji mereka, masing-masing akan dihukum oleh rakyat pada keikhlasan, kesungguhan dan keberanian mereka.” ujarnya.
Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, mengajak PAS menjalinkan kerjasama politik. Namun Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengatakan partinya hanya akan bekerjasama dengan Umno sekiranya parti itu kembali kepada landasan Islam.
Pertemuan dua pemimpin utama parti itu pada Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia yang berakhir semalam, telah menjernihkan sedikit suasana dikalangan penyokong parti sama ada PAS-Umno ini akan kembali bekerjasama demi agama, politik dan demi kepentingan umat Islam.