Pendedahan Kertas Pandora yang hangat diperkatakan harus menjentik naluri Speaker Dewan Rakyat untuk mendapatkan keadilan dan kebenaran agar ianya kelihatan telus dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Apabila ia ditolak mentah-mentah sebanyak tiga kali untuk dibahaskan sudah pasti ada sesuatu yang cuba disembunyikan dari pengetahuan Ahli Dewan mahupun rakyat amnya.
Ketua Koordinator Jingga 13 Malaysia, Fariz Musa berkata, adalah amat musykil dan mengecewakan apabila Speaker Dewan dilihat bersikap bias kepada penyangak, perompak dan penyamun serta pemimpin VVIP yang memunggah keluar wang rakyat untuk disimpan di luar negara.
“Transaksi melibatkan wang negara mencecah lebih RM1.8 trilion tidak sepatutnya dipertahankan ketika rakyat sedang berhadapan dengan kelaparan, pengangguran, jurang kemiskinan yang melebar serta hidup dalam kesusahan dan kepayahan.
“Rakyat ternanti-nanti ingin mengetahui kenapa wang tersebut boleh dibawa keluar sehingga begitu banyak dan bagaimana pula seorang menteri, bekas menteri mahupun VVIP tersebut boleh memiliki wang sebegitu banyak dan disembunyikan di luar negara sepertimana dakwaan membabitkan Kertas Pandora.
“Usul dan pendedahan Kertas Pandora wajar dibahaskan dan bukannya dinafikan atas pelbagai alasan sepertimana yang dilakukan oleh Speaker,” kata Fariz melalui kenyataan beliau kepada Malaysia Dateline.
Tegasnya lagi, sekiranya Speaker lemah dan tidak mempunyai keupayaan dalam mengendalikan isu ini, adalah lebih baik baginya melepaskan jawatan dan digantikan dengan mereka yang lebih profesional, berkecuali dan telus.
Jingga 13 Malaysia juga, kata Fariz, mendesak Perdana Menteri supaya menubuhkan Suruhanjaya DiRaja atau segera membuka Kertas Putih bagi menyiasat pendedahan yang melibatkan beberapa figura penting negara berkaitan pemilikan akaun luar pesisir itu.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mendesak isu Kertas Pandora disiasat dan diambil tindakan segera bagi memastikan pengkhianat dan perompak wang negara dibawa ke muka pengadilan serta wang negara yang telah hilang dikembalikan.