Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) dalam mesyuaratnya hari ini membuat keputusan menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang terbabit dengan insiden membuli dengan kekerasan seorang rakan mereka.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf, berkata mesyuarat JDM telah mengkaji kes berkenaan dengan teliti sebelum mengambil keputusan tersebut berkuat kuasa hari ini.
Menurutnya, MARA memandang serius kejadian buli yang berlaku dan hukuman yang diputuskan menunjukkan pihaknya tegas dan tidak berkompromi perbuatan membuli dalam kalangan pelajar di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) dan tajaan MARA.
Jelasnya, ibu bapa pelajar yang terbabit juga telah dimaklumkan mengenai keputusan jawatankuasa berkenaan.
“Keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu bukan sahaja menjadi pengajaran kepada pelajar yang terbabit, namun perlu dijadikan teladan oleh pelajar lain agar perkara sama tidak diulangi membabitkan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA.
Azhar berkata, MARA semestinya mahu melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan, namun pada masa sama mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik agar diterima oleh masyarakat.
“MARA sentiasa komited dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah.”
“Selain melaksanakan pemantauan secara berterusan melalui aktiviti pelajar ia termasuk proses pembelajaran di dalam kelas bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang,” tambahnya lagi.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan kejadian buli secara kekerasan atau ‘ragging’ di MRSM Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.
Siasatan awal polis mendapati, kejadian buli itu berlaku pada awal pagi antara jam 1 hingga 2 pagi 9 Disember lalu membabitkan mangsa dengan beberapa suspek lain yang semuanya adalah pelajar Tingkatan 1 berusia 13 tahun.