Tujuh tahun lalu Malaysia digemparkan dengan kes bunuh Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Perbuatan tersebut dilakukan di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 dan 22 Mei 2017.
Kini Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan membunuh Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.
Menurut Astro Awani, perkara itu diputuskan secara sebulat suara oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.
Keputusan dibuat selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi mengekalkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Lima daripada tertuduh itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.
“Kami sebulat suara memutuskan bahawa hanya satu hukuman sahaja yang wajar dijatuhkan terhadap enam tertuduh iaitu di mana keenam-enam tertuduh ini hendaklah dibawa ke suatu tempat penggantungan di mana di sana mereka akan dikenakan hukuman gantung sampai mati.
“Di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandotari 2023 yang berkuat kuasa pada 16 Jun 2023, hukuman yang boleh dikenakan bagi kesalahan bunuh adalah hukuman gantung sampai mati atau hukuman penjara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan.
“Dalam kes ini ada beberapa faktor yang memberatkan hukuman ini antaranya perbuatan tertuduh pertama hingga kelima cukup kejam. Si mati diikat kaki dan tangan semasa mereka menekap seterika ke badan si mati.
“Selain itu, sebelum diseterika, si mati dipukul beramai-ramai. Walaupun enam tertuduh nampak dan melihat si mati mengelupar kesakitan, mereka tutup mata, tidak peduli dan terus menekap seterika ke atas hampir keseluruhan badan si mati sehingga mengakibatkan 90 kesan lecur.
“OKT (tertuduh) 1 hingga 5 menekap seterika di seluruh bahagian badan si mati termasuk di kemaluan menunjukkan mereka berniat jahat, zalim, tidak berperikemanusian dan tanpa ada rasa belas kasihan sesama rakan pengajian.
“Jadi kami bersetuju dengan pendakwaan bahawa cara jenayah bunuh dilakukan shock not only judicial conscience but even the collective conscience of the society,” katanya ketika membacakan keputusan.
Bagi 12 lagi tertuduh, mereka sebelum ini dikenakan hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.
Ini adalah kerana mereka dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan diketepikan dan digantikan dengan hukuman penjara empat tahun.
Semua 12 pemuda itu ialah:
- Mohd Hafiz Fauzan Ismail
- Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain
- Ahmad Shafwan Berdal
- Muhammad Amirul Asraff Mala
- Luqman Hakim Shamsuri Agus
- Muhammad Sufi Mohd Mustapha
- Noriznan Izzairi Noor Azhar
- Muhamad Ashraf Abdullah
- Muhamad Danial Firdaus Azmir
- Muhammad Hasif Ismail
- Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany
- Mohamad Syazwan Musa