Tular mengenai kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri, yang didakwa meninggal dunia akibat kekerasan di Kem Sri Miri, Sarawak pada Isnin lalu.
Tentera Darat Malaysia (TDM) juga telah mengesahkan kematian anggota Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) Kem Sri Miri, Sarawak.
Hasil siasatan awal yang dilaksanakan oleh pasukan mendapati terdapat unsur ‘manhandling’ (kekerasan).
Disebabkan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan telus dan tidak akan menyembunyikan siasatan kes lapor Harian Metro.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia penting supaya tidak timbul salah faham dan kekeliruan oleh masyarakat berhubung insiden itu.
Beliau berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama terhadap siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita (kementerian) akan transparent (telus) dalam soal ini dan memang tidak akan ‘cordon’ (tutup) perkara seperti ini.
“Hasil daripada itu (siasatan), kita akan lihat bagaimana untuk memastikan semua perkara termasuk insiden seperti itu tidak berulang.
“Adalah wajar untuk kita lakukan siasatan sehingga selesai, maka barulah apa-apa maklumat kita akan beritahu.
“Kita tak akan sekat kerana nanti akan timbul salah faham, keliru dan sebagainya,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Susulan insiden itu, dua anggota prebet berusia 22 dan 24 tahun dari kem berkenaan ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh.
Dalam pada itu Mohamed Khalid memaklumkan insiden seperti itu jarang berlaku dan berharap semua untuk tidak membuat kesimpulan sendiri.
“Kita nak mengkaji secara mendalam apa sebenarnya yang berlaku, malah tidak boleh nak kata dera atau sebaliknya. Kita masih siasat, tidak boleh terus ‘jump to conclusion’,” katanya.
Baca juga: Gaji tertunggak hampir setahun, pemain Kedah Darul Aman terima sumbangan Aidilfitri