Kes tampar pemuda sebab makan di tempat terbuka, warga emas dilepas tanpa dibebaskan

Oleh MALAYSIADATELINE

Tular baru-baru ini seorang warga emas menampar seorang lelaki selepas didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila warga emas itu menampar muka pemuda tersebut berkali-kali selepas lelaki tersebut enggan menunjukkan kad pengenalannya.

Hari ini Mahkamah Majistret Johor Bharu melepas tanpa membebaskan (DNAA) tertuduh, Abdul Razak Ismail.

Majistret A Shaarmini membuat keputusan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, memaklumkan mendapat arahan untuk merujuk semula kertas siasatan kes berkenaan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.

Nur Fatihah memaklumkan mahkamah, beliau baharu menerima arahan berkenaan daripada AGC lapor Harian Metro.

Keputusan tersebut menyebabkan anak tertuduh yang berada di galeri mahkamah terkejut dengan arahan terbaharu berkenaan.

Semasa menjalani prosiding, Orang Kena Saman (OKS), Abdul Razak mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Apabila ditanya Majistret sama ada OKS mahu dibicarakan, OKS tetap dengan pengakuan bersalah namun tidak setuju dengan fakta kes dibicarakan dan ini menyebabkan pengakuan bersalah itu ditolak.

Ketika Timbalan Pendakwa Raya sedang berhujah untuk menetapkan jaminan tertuduh, beliau memaklumkan mendapat arahan baru dari Pejabat Peguam Negara yang mengarahkan untuk mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai DNAA.

Majistret kemudian bertanya sama ada kes berkenaan akan dituduh semula, sebelum Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan mahkamah kes berkenaan akan dituduh semula selepas Pejabat Peguam Negara di Putrajaya meneliti semula kertas siasatan.

Sekadar perkongsian, menerusi DNAA, orang kena tuduh (OKT) memang akan dilepaskan daripada pertuduhan yang sedang dihadapi ketika itu.

Bagaimanapun, individu itu pada bila-bila masa boleh dihadapkan di mahkamah atas pertuduhan yang sama.

Baca juga: Menyesal terikut hobi orang kaya beli superbike mewah, awal bulan tinggal RM50