Corak pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang memberi ruang yang selesa kepada semua pihak tidak akan merugikan penganut Islam malah dakwah Islam bakal berkembang subur di negara ini.
“Sebagai agama berasaskan hujah dalam menentukan kebenaran, suasana harmoni jauh lebih menguntungkan daripada suasana konflik,” kata penasihat agama kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM), Ustaz Zamri Zainal Abidin ketika menyampaikan kuliah mingguan di surau FAMA Tunjong Kota Bharu pagi tadi.
Bagi beliau peristiwa pemimpin DAP, Hannah Yeoh yang datang berkunjung menemui Mufti Wilayah baru-baru ini adalah satu petunjuk besar bahawa Islam akan terus menjadi rujukan yang semakin penting.
“Sikap yang menganggap interaksi dengan bukan Islam malah menganggap menghormati mereka sesuatu yang bertentangan dengan Islam adalah pelik dan tidak selaras dengan amalan Nabi Muhammad SAW.
“Kerajaan PH yang berteraskan Rahmatan Lil ‘Alamin akan terus membuka ruang hubungan Islam – bukan Islam sebagai mana yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam dakwah baginda,” katanya.
Meskipun tidak bersetuju dengan golongan keras yang cuba merosakkan keharmonian hubungan antara agama di negara ini, kerajaan PH katanya tidak akan melayan provokasi kumpulan seperti itu.
“Mereka terus timbulkan kononnya Islam sedang terancam di bawah kerajaan sekarang.
“Apa yang terancam saya pun tak faham, masjid kah, solat kah, nak naik haji kah, nak nikah kawin cara Islam kah,” soal beliau.
Menurutnya, tiada satu apapun yang boleh dibuat oleh orang Islam di bawah kerajaan dulu tidak boleh dibuat sekarang.
“Malah dengan kita sekarang membesarkan interaksi dengan masyarakat dari agama lain, ruang dakwah kita akan terbuka luas jika kita ikhlas dan mempamerkan akhlak Islam yang begitu tinggi,” katanya.
Ustaz Zamri yang berasal dari Kelantan berjanji akan meluangkan masa sebulan sekali untuk mengisi slot kuliah mingguan anjuran AMANAH Kelantan itu.