Calon-calon muda dalam AMANAH berharap pencalonan mereka akan membantu Pakatan Harapan mendapat lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum kali ini ekoran kenaikan mendadak jumlah pengundi baharu.
“Dulu pengundi Behrang ni 22,000 sahaja tetapi sekarang sudah 42,000 lebih,” kata Khairol Najib bin Hashim, 30 tahun, calon Pakatan Harapan di kerusi Dewan Undangan Negeri Behrang, Perak.
Dengan pertambahan 20,000 pengundi baharu yang kebanyakannya berumur di bawah 30 tahun, Najib berharap akan mendapat sokongan lebih besar berbanding undi kepada Pakatan Harapan dalam pilihan raya lalu.
Dalam PRU-14 lalu, calon PH Aminudin Zulkipli menang dengan majoriti 409 undi mengalahkan calon BN dan Pas.
Najib adalah antara calon muda yang diketengahkan oleh AMANAH dalam pilihan raya umum kali ini.
Selain Najib yang buat pertama kalinya bertanding dalam pilihan raya umum, Ketua Pemuda AMANAH, Mohd Hasbie Muda bertanding di Parlimen Temerloh, timbalannya Nik Razak Redzuan bertanding di Tasik Gelugor.
Seorang lagi rakan Najib dalam Pemuda AMANAH, Sheikh Khuzaifah Abu Bakar akan bertanding di DUN Gunung Semanggol, Perak.
Menurut Najib, bekas pemimpin pelajar Universiti Malaya itu, Behrang yang terletak di bawah Parlimen Tanjong Malim berada dalam ranking kedua di kalangan kerusi-kerusi AMANAH di Perak selepas Sungai Rapat yang diwakili oleh Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin.
“Kami calon-calon muda AMANAH berharap diterima pengundi. Lagipun, kami mempunyai ramai rakan-rakan yang sama belajar yang kini duduk di jabatan-jabatan kerajaan manakala ayah-ayah mereka pula sudah menjadi pegawai-pegawai kanan kerajaan. Mereka banyak membantu saya,” kata Najib ketika ditemui di Medan Selera Tanjung Malim, tempat beliau sedang berkempen.

AMANAH akan bertanding 19 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen di Perak dalam pilihan raya umum kali ini. Dalam PRU-14, AMANAH menang dua kerusi Parlimen dan enam kerusi DUN di Perak.
Bagi Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin, bekas Menteri Besar Perak, peluang untuk Pakatan Harapan menang di Perak sekali lagi agak besar.
“Kita sasarkan 10 kerusi tetapi saya yakin paling kurang kita akan menang lapan kerusi DUN,” kata beliau yang akan mempertahankan kerusi paling tinggi rankingnya di kalangan kerusi AMANAH di Perak, Sungai Rapat.

Semalam, semua calon AMANAH di Perak menerima borang watikah perlantikan mereka sebagai calon masing-masing yang ditandatangani oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Watikah atau surat kuasa untuk bertanding menggunakan lambang parti itu adalah salah satu syarat untuk membolehkan mana-mana calon bertanding menggunakan lambanag parti berkenaan.
Untuk Pakatan Harapan, watikah itu ditandatangani oleh seorang sahaja iaitu pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim.