Ketua Audit Negara dalam satu kenyataan media hari ini mengakui Lembaga Tabung Haji (LTH) mampu untuk membuat pembayaran dividen kepada pendepositnya berdasarkan penyata pendapatan LTH bagi tahun berakhir 31 Disember 2015 dan maklumat interim yang diterima.
Tan Sri Ambrin Buang dalam kenyataan ringkas dua perenggan juga berkata, penetapan kadar dividen LLTH tahun 2015 adalah di bawah tanggung jawab Ahli Lembaga Pengarah LTH.
“Merujuk kepada laporan media mengenai keupayaan LTH untuk membayar dividen kepada pendepositnya dan mengaitkan dengan semakan yang sedang dijalankan oleh Jabatan Audit Negeri (JAN), JAN ingin memaklumkan semakan yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara sebelum dividen diisytiharkan oleh LTH adalah merupakan satu amalan biasa bagi memastikan polisi perakaunan yang diguna pakai oleh LTH adalah konsisten dan mematuhi konsep berhemat (prudance),” kenyataan media itu dipetik.
Kemampuan LTH untuk membayar dividen kepada para pendepositnya menjadi perhatian umum apabila surat Gabenor Bank Negara kepada institusi itu tersebar di media sosial.
Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam surat bertarikh 23 Disember 2015 memberitahu Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Rahim bahawa nilai aset TH hanya mencukupi untuk membayar tidak lebih daripada 98 sen bagi setiap seringgit nilai liabiliti.
Zeti berkata, paras rizab TH adalah negatif dan tidak akan dapat membayar 8.8 juta pencarum sebarang dividen tahun ini jika tidak mengambil tindakan menyelesaikan masalah ini.
Dalam satu surat berasingan kepada Jamil Khir pada tarikh sama, Zeti memberi amaran keadaan kewangan TH boleh memberi kesan kewangan kepada kerajaan.