Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan keputusan parti itu menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu sebagai ‘ubat pahit’ yang perlu ditelan demi kemaslahatan yang lebih besar.
Tindakan juga diambil bukan berdasarkan sentimen atau kepentingan jangka pendek sebaliknya melalui penilaian kemampuan kerjasama dalam mencapai matlamat lebih besar iaitu penyatuan ummah dan kestabilan politik negara,
Matlamat tersebut bagaimanapun tidak dapat dicapai apabila Bersatu enggan menerima kemasukan parti-parti lain dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) sekali gus menggagalkan gagasan penyatuan itu.
Bukan itu sahaja, moral jentera PAS juga dikatakan terkesan dengan pendirian Bersatu dalam langkah diambil mereka sebelum ini berhubung ketegangan politik yang berlaku di Perlis dan Negeri Sembilan.
“Apabila Bersatu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN mengambil sikap menentang kemasukan parti-parti seperti BERJASA, PEJUANG, IMAN dan PUTRA walaupun kertas cadangan sudah disiapkan, tindakan tersebut jelas merosakkan gagasan penyatuan yang dihasratkan selama ini.
“Ditambah pula dengan kronologi sikap Bersatu di Perlis dan Negeri Sembilan. Keadaan itu telah menjejaskan moral jentera PAS untuk terus bekerja bersama Bersatu dalam pilihan raya akan datang. Sudah tentu PAS dan Bersatu tidak boleh terus berada di bawah payung yang sama,” jelasnya dalam kenyataan di Facebook.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu memaklumkam bahawa kedudukan PAS dan Bersatu dalam gabungan PN akan diuruskan mengikut peruntukan perlembagaan serta saluran yang sewajarnya susulan keputusan ‘perpisahan’ tersebut.
Terdahulu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan keputusan untuk memutuskan kerjasama dengan parti dalam komponen PN iaitu Bersatu selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Perkara tersebut diumumkan selepas Ahli Parlimen Marang itu memperakukan keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun berhubung pertimbangan dasar, hukum, dan maslahah berhubung kerjasama politik PAS.
Parti tersebut sebaliknya menyatakan hasrat untuk meneroka kerjasama politik baharu demi penyatuan ummah, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Baca juga: PAS rasmi ‘cerai’ dengan Bersatu! Hadi umum tamat kerjasama
politik