Pempengaruh yang juga usahawan muda, Khairul Aming berjaya meraih jualan mencecah RM42 juta untuk tahun 2024 melalui pemasaran dua produk keluarannya iaitu Sambal Nyet Berapi dan Dendeng Nyet Berapi.
Menurut pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman itu, kejayaan tersebut turut merekodkan peningkatan jualan sebanyak 110 peratus berbanding tahun lalu iaitu RM20 juta.
Jelasnya, antara faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan jualan buat kedua-dua produk makanannya ini adalah penjualan melalui penstriman langsung dan peningkatan pengeluaran.
“Dengan senang hati saya ingin berkongsi dengan anda semua yang Alhamdulillah, jualan produk Khairul Aming untuk tahun 2024 mencecah RM42 juta, iaitu peningkatan sebanyak 110% dari tahun sebelumnya (RM 20 juta).
“Apakah perubahan yang kami buat yang menyebabkan jualan naik kepada 110 peratus? Pertamanya kami fokus kepada jualan melalui ‘livestream’ (penstriman langsung) dan keduanya dari segi pengeluaran,” katanya.
Perkara itu didedahkan oleh Khairul Aming menerusi satu hantaran video berdurasi empat minit 46 saat di platform TikTok untuk berkongsi kepada pengikutnya mengenai perkembangan perniagaannya.
Dalam hantaran yang sama, usahawan kelahiran Kelantan itu turut memaklumkan rancangannya untuk tahun 2025 bagi mengembangkan perniagaan dengan pembukaan kilang ketiga di Kelantan tidak lama lagi.
Khairul Aming juga bercadang untuk memperkenalkan produk terbaharu selain akan kerap ke luar negara untuk meningkatkan serta memperluaskan ilmu terutamanya mengenai perdagangan secara atas talian.
“Rancangan untuk tahun 2025, salah satunya adalah kita akan buka kilang ketiga yang akan mula beroperasi pada tahun ini juga di Kelantan selain turut menambah produk yang ketiga. Tetapi untuk itu, saya akan umumkan apabila sudah bersedia.
“Kemudian kita akan besarkan lagi kapasiti livestream dan kembangkan lagi pasukan yang lebih kuat. Kita juga akan banyak pergi luar negara untuk dapatkan ilmu mengenai ‘e-commerce’ dan livestream lalu bawa ilmu tersebut ke Malaysia.
“Selain gunakan ilmu itu untuk bangunkan perniagaan sendiri, saya akan berkongsi dengan ahli Perniagaan Kecil dan Sederhana (SME) berkaitan cara naikkan lagi produk mereka terutama melalui pemasaran secara atas talian,” jelasnya.
Usahawan itu juga menyatakan persediaannya untuk memantau dan membimbing pencipta kandungan atau ‘affiliate’ dalam usaha untuk mengembangkan lagi dunia perniagaan digital di Malaysia.
Baca juga: Netizen Indonesia kata Malaysia diam-diam ‘kaut’ semua pelabur masuk Malaysia