Pempengaruh terkenal, Khairul Aming yang kini bergiat aktif membantu mangsa banjir memaklumkan bahawa pihaknya tidak membuka sebarang tabung untuk orang ramai menderma.
Khairul Aming yang juga merupakan usahawan muda itu berkata, tabung bantuan sedemikian tidak boleh dibuka sesuka hati ekoran perlu mendapatkan permit daripada pihak berwajib terlebih dahulu.
Pihaknya juga merasa bimbang akan terlepas pandang di dalam menjaga amanah berhubung duit orang ramai sekiranya tabung sumbangan untuk bantuan mangsa banjir tersebut dibuka.
Walau bagaimanapun, orang ramai boleh menderma dalam bentuk barangan keperluan penting buat mangsa banjir di mana mereka perlu meletakkannya di lokasi pengumpulan yang telah ditetapkan.
Ahli perniagaan berusia 32 tahun itu membuat penjelasan tersebut menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di platform X kerana ramai orang meminta nombor akaun bank miliknya untuk menderma.
Walau bagaimanapun, usahawan terbabit menyatakan jika ada mana-mana pihak yang mahu memberikan barangan untuk diedarkan kepada mangsa banjir, mereka boleh meninggalkan ke beberapa lokasi yang akan dinyatakan.
“Ramai yang minta nombor akaun untuk menderma. KA (Khairul Aming) minta maaf tak boleh buka tabung derma sebab kena ada permit. Kami juga risau terlepas pandang amanah duit orang nanti.
“Sesiapa yang ada barang nak derma, boleh letakkan di tempat KA kongsikan sebelum ini. Dari segi kewangan pula jangan risau, KA akan uruskan,” katanya dalam hantaran tersebut.
Dalam perkongsian yang sama, Khairul Aming juga turut mendedahkan bahawa rakan pempengaruh iaitu Pinn Yang telah memberikan sumbangan yang sangat besar kepada pihaknya.
Oleh yang demikian, duit sumbangan tersebut termasuk dari pihaknya sendiri akan digunakan terlebih dahulu untuk urusan pemberian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir terutamanya di Pantai Timur.
Dalam pada itu, Khairul Aming memaklumkan barangan keperluan yang boleh disumbang kepada mangsa banjir adalah makanan dalam paket atau tin, pakaian dalam, pad pakai buang, kain sarung, baju, roti, biskut, mi segera dan sebagainya.
Orang ramai bolehlah mendapatkan segala maklumat penting mengenainya yang akan sentiasa dikemas kini menerusi akaun media sosial rasmi milik usahawan terbabit.
Baca juga: Rakyat Malaysia bangga Manchester United kirim ucapan buat mangsa banjir dalam Bahasa Melayu