Banjir besar di Kelantan kini mendapat perhatian pempengaruh terkenal Khairul Aming untuk membantu mangsa banjir di sana. KA, atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, menerusi Instagramnya, berkongsi pengalamannya yang tiba di Kelantan pada Sabtu.
Dalam tempoh hanya dua jam, beliau berjaya mengumpul bantuan untuk 2,000 mangsa banjir di Pasir Mas. Misi ini turut mendapat perhatian dari bos Mydin sendiri.
Mydin hari ini tampil membantu KA dalam usaha mulianya memberi bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin dalam dalam sebuah video yang tular di TikTok, memberi kebenaran penuh kepada Khairulaming untuk mengambil barangan di premis Mydin tanpa sebarang halangan.
Lebih mengharukan, KA tidak perlu menggunakan kad kredit atau membuat sebarang pembayaran segera.
“Ambil sebanyak mana barang yang diperlukan, tak perlu risau pasal kad kredit atau hantar orang, 20,000 atau 100,000, lepas banjir baru bayar,” kata Datuk Ameer.
Situasi banjir di beberapa kawasan di Malaysia, khususnya di Pantai Timur, kini semakin membimbangkan dengan jumlah mangsa mencecah hampir 100,000 di Kelantan sahaja.