Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin perlu menarik semula rang undang-undang pindaan pindaan Akta Pecegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang bersifat drakonian atau merosakkan masa depan dan nama baik beliau.
Beliau sepatutnya berunding dengan semua pihak, bukan setakat Ahli-ahli Parlimen dan parti-parti politik, tetapi juga semua badan perubatan dan badan-badan bukan kerajaan mengenai RUU pindaan ini, kata veteran DAP, Lim Kit Siang.
Tindakan ini, kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu perlu jika beliau tidak mahu berhadapan dengan kemungkinan RUU ini ditolak dengan belah bahagi (kejadian belah bahagi pertama selepas MOU dimeterai) dan kemudiannya perlu dibentangkan semula dalam persidangan Parlimen yang akan datang.
Lim Kit Siang berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan petang semalam.
Menurut beliau, pemaksaan kelulusan RUU Pindaan Akta Pecegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang drakonian dan tidak saintifik pada hari Khamis ini (esok) akan menjadi satu hari yang memalukan negara yang hanya akan membuktikan dua perkara:
“Pertamanya, berlawanan dengan apa yang dikatakan beliau sebelum ini bahawa rakyat Malaysia perlu belajar untuk hidup bersama dengan wabak Covid-19 memandangkan kita tidak dapat menghapuskan penyakit ini;
“Keduanya, tidak ada apa-apa pun yang telah berubah walaupun Memorandum Persefahaman (MOU) telah ditandatangani di antara Perdana Menteri Ismail Sabri dengan empat orang pemimpin Pakatan Harapan, yang sepatutnya membawa masuk satu bentuk kerajaan yang lebih banyak melibatkan rundingan dengan semua pihak,” katanya.
Bagi Lim, Khairy, boleh menghancurkan masa depan politik beliau tidak berbuat demikian.
“Walaupun Khairy telah menjalankan tugas dengan agak baik dalam Seratus Hari pertama beliau pada 7 Disember berbanding dengan Menteri-menteri lain apabila beliau berjaya menghentikan peningkatan mendadak kes harian dan kematian akibat Covid-19, kita masih berhadapan dengan perjalanan yang panjang sebelum berjaya menghentikan penularan wabak ini di Malaysia, yang merupakan gelombang penularan yang terpanjang di dunia sejak daripada bulan September tahun lepas,” katanya.
Malah, kata beliau, Malaysia masih lagi belum mencapai kadar jangkitan pada era sebelum darurat diisytiharkan pada 11 Januari, di mana kes harian berada dalam paras sekitar 2,000 kes sehari.
“Adakah kerajaan sedang mencari alasan mengapa kita menjadi negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan wabak Covid-19 sepanjang 23 bulan yang lepas ini,” katanya.