Khalid enggan layan desakan lepas jawatan sebagai Presiden KLFA, tidak mahu pihak lain ambil alih untuk kepentingan peribadi

Oleh KIM SYAZIE

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad menjelaskan pendiriannya untuk tetap tidak berundur dari kerusi No. 1 badan induk bola sepak Kuala Lumpur tersebut walaupun beberapa kali orang mendesaknya berbuat demikian.

Beliau mendedahkan, beberapa kali beliau diberitahu sekiranya beliau rela melepaskan kedudukannya, peruntukan untuk Kuala Lumpur City FC akan segera mengalir.

Bagaimanapun beliau bertegas tidak melayan kata dua yang diberikan pihak tersebut kerana menurutnya pihak-pihak itu hanya berminat mengambil alih demi kepentingan perniagaan dan agenda peribadi.

“Saya telah diberitahu sebelum ini oleh beberapa pihak, bahawa sebaik sahaja saya meletakkan jawatan maka duit akan mengalir masuk. Saya diminta berjiwa besar dan meletak jawatan supaya KLFA akan menerima duit dan dengan itu KL FC akan juga turut menerimanya.

“Walaupun diminta beberapa kali saya enggan untuk meletakkan jawatan kerana saya amat sedar akan implikasi pemergian saya.

“Pasukan bola sepak tidak akan berjaya seperti sekarang kerana mereka yang telah dikenalpasti mengambil alih hanya berminat untuk memperalatkan pasukan ini untuk kepentingan perniagaan dan agenda peribadi mereka,” Katanya dalam satu sidang media hari ini.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, perkara seumpama itu pernah terjadi dahulu dan itulah sebabnya pasukan tersebut tidak mencapai apa-apa kejayaan selama 32 tahun.

Baginya, pasukan bola sepak KL FC kini diurus secara profesional oleh individu-individu yang komited dan menumpukan usaha menjadikan KL kembali hebat.

“Saya kekal sebagai presiden untuk menentukan tiada campur tangan oleh ahli politik atau ahli perniagaan yang akan merosakkan disiplin dan semangat kerjasama pasukan,” katanya.

Pada masa sama, Khalid menambah, sekiranya beliau meletakkan jawatan, pengurusan baharu mencadangkan secara jelas tentang hasrat mereka inginkan Stanley dihentikan.

Namun jika Stanley dihentikan, Bojan juga akan berhenti kerana mereka merupakan gandingan yang baik.

“Stanley yang telah membawa Bojan balik dari Croatia untuk menjadi jurulatih utama Kuala Lumpur City. Dan sekiranya ini berlaku, maka keadaan pasukan KL akan kembali seperti dahulu,” katanya lagi.

Sebelum ini, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disebut-sebut bakal mengisi kekosongan kerusi yang disandang Khalid jika Khalid melepaskan kedudukannya.

Baca juga: Ribuan tonton Sajat tidur berdengkur gara-gara terlupa ‘end live’- Ramai nak kejutkan dia tapi tak boleh

Baca juga: Pasangan suami isteri didakwa ejen Mossad bukan anggota PKR – Fahmi