Khalid gesa kerajaan kaji semula sekatan ibadah umrah

Oleh KIM SYAZIE

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka yang menangguhkan sementara kebenaran perjalanan ibadah umrah berkuat kuasa 8 Januari ini.

Beliau berkata, banyak pengusaha pakej umrah mengadu mereka akan menanggung kerugian jutaan ringgit ekoran pembatalan perjalanan tersebut kerana tempahan hotel, penerbangan dan segala perkhidmatan di Mekah dan Madinah telahpun dibuat beberapa bulan lebih awal.

Menurutnya, keputusan kerajaan yang dibuat tanpa perbincangan menyeluruh dengan pengusaha pakej umrah jelas memperlihatkan ianya dilakukan secara terburu-buru, lebih-lebih lagi apabila kerajaan Arab Saudi masih lagi membenarkan umrah dan sudah mula membuka visa ziarah bagi pelancong dari beberapa negara.

“Lebih mendukacitakan lagi adalah kenyataan acuh tak acuh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad yang berkata kerajaan tidak mampu menyediakan fasiliti untuk memuatkan 1,000 orang sehari yang perlu dikuarantin untuk mengawal jangkitan Covid-19 ini.

“Sikap lepas tangan sebegini amat tidak wajar oleh seorang Menteri sedangkan pengusaha umrah mengharapkan menteri agama membela kepentingan mereka dalam soal ini.

“Kalau menteri agama pun lepas tangan, siapa lagi yang boleh pengusaha umrah mengharapkan untuk membela nasib mereka?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid bersama beberapa pengusaha pakej umrah yang hadir di Pusat Khidmat Peduli Rakyat, Ahli Parlimen Shah Alam

Terdahulu, Khairy Jamaluddin memutuskan untuk menangguhkan sementara bagi kebenaran perjalanan ibadah umrah sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Menurut Khairy langkah itu diambil susulan penularan varian Omicron Covid-19.

Dilaporkan, sejak kumpulan pertama jemaah umrah berlepas ke tanah suci pada 13 Oktober lalu sehingga 30 Disember 2021, seramai 1,306 daripada jumlah keseluruhan 11,108 jemaah yang pulang dikesan positif Covid-19.

Bagaimanapun menurut Khalid, menghentikan perjalanan ibadah umrah secara mengejut dengan memberikan notis tempoh seminggu sahaja kebenaran menunaikan umrah adalah keputusan yang tidak wajar sedangkan masih ada pilihan-pilihan lain yang boleh diusahakan.

Jelasnya, kerajaan boleh mengambil pendekatan mengetatkan SOP untuk perjalanan menunaikan umrah sama ada sebelum balik dari Arab Saudi atau semasa sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Ujian Covid boleh dilakukan bagi setiap ahli jemaah dan kawalan ketat dikenakan terhadap pergerakan mereka,” tambahnya.

Pada masa sama katanya, kerajaan juga boleh menggunakan hotel-hotel yang kerugian besar akibat Covid-19 untuk menghidupkan kembali perniagaan mereka dengan dijadikan sebagai pusat kurantin untuk jemaah umrah.