Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad bertegas tidak mahu isu Kampung Sungai Baru yang diperjuangkannya selama ini hanya dijadikan isu ketika pilihan raya sahaja.
Disebabkan itu katanya, beliau masih meneruskan usaha membantu penduduk Kampung Sungai Baru yang telah menerima notis pengusiran pada 19 Disember lalu.
Kelmarin, Khalid bersama penduduk Kampung Sungai Baru mendengar permasalahan mereka tentang notis 30 hari yang diberikan kepada penduduk untuk mengosongkan rumah masing-masing.
Dalam sidang media itu, Khalid bersama penduduk turut membuat rayuan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan membatalkan notis itu dengan membenarkan penduduk berunding dengan pemaju untuk mendapatkan nilai pampasan yang lebih setimpal.
“Ini merupakan masalah yang telah cuba kita tangani sejak sebelum PRU15 lagi dan selepas pilihan raya masih belum dapat diatasi dengan sepenuhnya.
“Maka itulah sebabnya kita terpaksa turun padang sekali lagi dan menyuarakan hasrat dan kehendak pemilik tanah Kg Sungai Baru yang merasai diri mereka ditekan dan ditindas.
“Bila dipanggil begitu, saya terpaksa hadir kerana saya tak mahu orang anggap isu-isu ini hanya isu pilihan raya dan hanya sekadar untuk memberikan platform untuk saya bertanding di Titiwangsa,” katanya dalam Bicara Khalid Samad malam tadi.
Pada Jun tahun ini, Khalid turut membuat rayuan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk turun padang bertemu dengan penduduk yang runsing selepas berdepan kemelut isu pengambil alihan tanah oleh syarikat pemaju.
Campur tangan Perdana Menteri amat perlu katanya bagi membela nasib penduduk yang didakwa tidak dapat berunding secara terus dengan pemaju dan gagal mendapat tawaran harga munasabah.
Dalam perkembangan lain, Khalid memberitahu beliau kini memegang jawatan Pengerusi AMANAH Kelantan bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.