Khatam al-Quran baru bayar tunggakan gaji pemain Red Worriors, syarat Dr Vida

Oleh MALAYSIADATELINE

Datuk Dr Hasmiza OthmanPenaja utama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Dr Hasmiza Othman sedia mempertimbangkan untuk melelong sebentuk cincin kesayangannya dengan syarat sekurang-kurangnya lima pemain Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) perlu mengkhatam al-Quran.

 Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr. Vida lakukan sedemikian untuk membantu pengurusan kumpulan Red Worrrior itu menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain pasukan tersebut.

“Saya ada bergurau tempoh hari mungkin saya akan lelong satu cincin saya untuk bayar tunggakan (pemain) dengan syarat lima orang (pemain) kena khatam al-Quran sekali atau lebih.

“Saya akan ambil kira kesungguhan pemain. Anda mahu tunggakan gaji diselesaikan, jadi anda perlu ikut apa yang saya mahukan ini(khatam al-Quran),” katanya dalam satu temu bual  dipetik mStar Online.

Usahawan kosmetik terkemuka negara itu berkata, pertimbangan tersebut hanya membabitkan tunggakan gaji pemain yang masih kekal bersama PQPTRW musim ini.

“Ia hanya untuk tunggakan gaji pemain sekarang. Buat masa ini, tunggakan tersebut dibayar secara berjadual,” katanya.

Pada masa sama, Dr Vida mendedahkan semua pemain Kelantan yang beragama Islam diwajibkan untuk membaca al-Quran setiap petang sebelum memulakan sesi latihan.

Beliau berkata sesi tersebut merupakan salah satu prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi pemain PQPTRW bermula pada April ini.

“Pemain tak boleh ponteng. Saya dah maklumkan kepada pemain sekurang-kurangnya satu jam kena khatam al-Quran. Saya akan cari guru mengajar al-Quran untuk mereka,” katanya.

Menurut Dr Vida, beliau mahu menekankan aspek kesukanan dan kerohanian di dalam pasukan ini agar pemain memperoleh ketegangan jiwa ketika bermain bola.

Malah, beliau juga berharap semua pemain PQPTRW akan menjadi contoh terbaik kepada generasi muda di luar sana.

“Pemain PQPTRW bukan sahaja pandai bermain bola tetapi mereka turut akan dilengkapi nilai kerohanian. Saya cuba bawa ibadah ke dalam sukan agar apa yg kita impikan musim ini mendapat keredaan dan keberkatan-Nya,” kata Dr Vida.