‘Khemah besar’ perlu melangkaui PH, kata Adly

Oleh ARIF ATAN

Gabungan pembangkang atau ‘khemah besar’ perlu melangkaui Pakatan Harapan (PH) bagi meraih penerimaan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari berpendapat kerjasama parti-parti pembangkang yang lebih besar itu penting memandangkan rakyat akan menyokong pihak yang lebih bersatu.

“Saya tak fikir khemah besar dalam konteks PH tetapi khemah besar dalam konteks pembangkang dalam negara, barulah kita boleh yakinkan rakyat kita boleh membawa Malaysia ke depan.

“Bagi saya pada PRU-15 rakyat akan memilih kelompok yang bagi mereka paling bersatu.

“Siapa yang lebih bersatu dia akan diterima rakyat, kerana bagi mereka apa sahaja isu dimainkan tapi yang penting adalah membawa Malaysia ke depan mesti membina kesepakatan bersama,” dipetik The Malaysian Insight.

Untuk rekod, blok pembangkang pada masa ini terdiri daripada PH, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Bebas.

PH pula merupakan gabungan PKR, AMANAH, DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Mengulas lanjut, Adly yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, pengundi Melayu lebih mudah menyokong pembangkang jika berada dalam satu kumpulan seperti pada PRU-14.

“Untuk kuatkan sokongan orang Melayu memang kena ada kerjasama semua parti pembangkang untuk menghadapi BN itu.

“Memang ada sebahagian parti politik (pembangkang) berlandaskan Melayu seperti Pejuang, dan sebahagian lain berteraskan Islam yang diperjuangkan AMANAH, DAP membawa semangat demokrasi, seperti PKR pula parti pelbagai kaum.

“Kalau semua kelebihan disatukan dalam pembangkang, ia ada kelebihan kepada rakyat untuk melihat,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu.

Keputusan PRU-14 pada 2018 menyaksikan sokongan pengundi Melayu terhadap blok pembangkang diwakili PH meningkat kepada 14 peratus berbanding lapan peratus dalam PRU-13.

Sehubungan itu, Adly berpendapat AMANAH harus menjadi sebahagian daripada pihak yang mengusahakan penyatuan pembangkang menjelang PRU-15 bagi mendapatkan sokongan Melayu.

“Kita lihat parti pembangkang di Malaysia berpecah belah. Untuk ke depan pembangkang mesti disatukan.

“Kalau tidak bagi saya BN akan kekal menguasai negara kalau pembangkang berpecah belah kerana memang salah satu strategi BN sentiasa berusaha pecah-belahkan pembangkang untuk mereka berkuasa,” ujar Adly lagi.