Khutbah Pas didakwa tanam kebencian, kata AMANAH Kelantan

Oleh ZIKRI ABDULLAH

 

Khutbah hari raya Aidil Adha 1439 yang disediakan oleh Dewan Ulama Pas Kelantan didakwa berunsur fitnah dan manipulasi agama.

Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata Pas dengan sengaja menggunakan Islam untuk mempertahankan kedudukannya sebagai sebuah parti politik yang dilihat semakin hilang popularitinya.

“Nampaknya khutbah hariraya sekali lagi telah digunakan oleh Pas sebagai saluran dakyahnya untuk menyebar fitnah dan menanam kebencian rakyat ke atas pemerintah menggunakan sentimen agama secara salah.

“Kedudukan Pas yang semakin terdesak dan semakin hilang sokongan telah digambarkan sebagai satu ancaman kepada Islam dan melayu,” katanya mengulas khutbah yang dibacakan khatib yang menyokong Pas semalam.

Menurutnya, khutbah Aidil Adha yang dibaca oleh sesetengah khatib di Kelantan semalam secara jelas telah memfitnah kerajaan.

“Ada khatib dengan lantang menyebut “Kerajaan PH telah menggunakan ‘Rahmatan Lilalamin’ untuk menghalalkan LGBT satu tuduhan yang jelas berunsur fitnah.

“Perkara inimempunyai risiko yang besar di sudut hukum syarak ke atas orang yang menuduh itu sendiri kerana seolah olah telah menuduh kerajaan yang ada hari ini telah menghalalkan perkara yang Allah haramkan,” katanya.

Khutbah ini juga cuba mengaitkan isu Bahasa Melayu dan pengiktirafan sijil UEC sebagai satu ancaman kepada agama Islam sedangkan bahasa Melayu dan sijil UEC tidak ada kaitan dengan agama Islam, bahkan sijil tersebut sudah lama wujud dan sehingga hari ini belum lagi diiktiraf oleh Kerajaan.

Khutbah Dewan Ulama Pas Kelantan itu juga katanya mengaitkan isu UEC sebagai telah diiktiraf oleh kerajaan dan boleh memberi ancaman kepada agama Islam.

“Ini jelas satu penyalahgunaan agama demi kebencian kaum kerana UEC tidak ada apa apa kaitan dengan agama Islam, bahkan Pas sendiri dalam menifestonya pernah berjanji untuk mengiktiraf sijil UEC.

“Saya mencabar Dewan Ulama Pas Kelantan bersedia untuk bersemuka dalam satu debat terbuka dengan Panel Syariah, Parti Amanah Negara Negeri Kelantan bagi membahaskan sejauh manakah kebenaran isu isu yang dibangkitkan dalam khutbah tersebut dan apakah ancamannya kepada agama Islam seperti yang digambarkan,” katanya.