Kit Siang sepatutnya saman Mohamed Razali, kata Presiden NGO Pro-BN

Oleh MALAYSIADATELINE

Presiden Pakatan NGO Pro BN Zulkarnain MahdarPenasihat DAP Lim Kit Siang sepatutnya menyaman bekas penasihat khas ketua menteri Pulau Pinang, Mohamed Razali Abd Rahman berhubung dakwaan DAP ditawarkan RM1.2 juta bilion dengan syarat pangkalan tentera Israel dibina di negara ini jika memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Presiden Pakatan NGO Pro Barisan Nasional (Pakatan NGO Pro-BN) Zulkarnain Mahdar dipetik sebagai berkata  DAP tidak sepatutnya menyaman Pengarah Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki kerana dakwaannya itu merujuk kepada kenyataan Mohamed Razali terhadap DAP empat tahun lalu.

“Sepatutnya Lim Kit Siang dan DAP menyaman Mohamed Razali serta membuat laporan polis kerana memfitnah dan bukannya meminta bukti daripada Pro-BN termasuk Dr Zuhdi.

“Pro-BN membuat laporan polis sebelum ini terhadap DAP selepas terbaca pendedahan dibuat Dr Mohd Zuhdi mengenai tawaran RM1.2 bilion dan pembinaan kem tentera Israel sekiranya DAP menawan Putrajaya pada PRU13 yang lalu,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama semalam.

Menurut Zulkarnain, beliau yakin Mohamed Razali tentunya mempunyai asas untuk menyokong tuduhannya terhadap DAP berhubung tawaran RM1.2 bilion berkenaan serta pembinaan kem tentera Israel itu.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan Lim yang juga Anggota Parlimen Gelang Patah berkata beliau akan mengemukakan saman terhadap “seorang pemimpin kanan politik” yang mendakwa kononnya DAP ditawarkan RM1.2 bilion dan sebagai imbalannya membina sebuah pangkalan tentera Israel di negara ini sekiranya memenangi PRU13.

Walaupun Lim tidak menyebut nama pemimpin kanan politik berkenaan, namun portal berita berkenaan menyebut bahawa pemimpin politik kanan yang dimaksudkan ialah Dr Mohd Zuhdi.

Dalam satu kenyataan media semalam, Lim melontarkan pertanyaan kepada presiden gabungan NGO pro-BN, Zulkarnain Mahdar yang mahu polis menyiasat dakwaan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Mohd Zuhdi Marzuki berhubung perkara itu.

Menurut beliau, adakah gabungan NGO pro-BN yang diketuai Zulkarnain menganggap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu dikenakan tindakan disiplin kerana cuai bertindak menyiasat dakwaan tersebut.

Kit Siang menambah, dakwaan Zuhdi itu jika benar boleh mendatangkan malapetaka besar kepada negara jika dibiarkan tanpa sebarang tindakan kerana ia membabitkan aspek keselamatan negara dan sensitiviti umat Islam.