Kita sertai PRN yang dipaksa bukan untuk rebut pasir, janji Mohamad Sabu

Oleh BORHAN AHMAD

Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu menyifatkan pilihan raya negeri Melaka adalah satu pilihan raya yang dipaksakan ke atas rakyat.

Berucap ketika majlis pelancaran manifesto Pakatan Harapan Melaka hari ini, Mohamad berkata, bagaimanapun PH akan sertai sepenuhnya pilihan raya ini.

“Ini adalah pilihan raya yang dipaksakan. Namun, kita akan sertai PRN ini. Tujuannya untuk ambil alih kuasa dan merintah bagi memberikan khidmat terbaik,” kata beliau.

Mohamad juga menegaskan, selepas menang, bukan menjadi tugas pemimpin untuk mengkayakan diri mereka tetapi untuk kesejahteraan rakyat.

“Bukan tugas kita untuk kayakan pemimpin dan individu sebagaimana di negara dunia ketiga, pemimpin kaya walaupun rakyatnya miskin,” katanya.

Beliau yakin, PH mampu mengembalikan semula kebaikan yang dibuat ketika PH memerintah selama 22 bulan di negeri Melaka dahulu.

“Masa PH, rakyat boleh buat perbandingan. Rindu untuk kembalikan PH. Bila kembali memerintah, kita akan lakukan terbaik,” katanya.

Bagi beliau, pemimpin jangan sekali-kali berusaha untuk kayakan diri sendiri.

“Bukan nak rebut pasir dan tanah oleh pemimpin. Ini masa lalu, masa depan takkan berlaku,” kata Mohamad memberika jaminan kepada pengundi di Melaka.