“Kita tak boleh ganti orang sedang bercuti” – Anwar Ibrahim belum terfikir rombak kabinet

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum terfikir untuk merombak Kabinetnya selepas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan.

Anwar menegaskan bahawa penggantian anggota dalam Jemaah Menteri baharu tidak boleh dilakukan kerana secara asasnya, Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa itu sedang bercuti, lapor Berita Harian.

Beliau yang juga presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memaklumkan perkara tersebut ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri sebentar tadi.

Majlis diadakan di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya itu turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Belum (terfikir buat rombakan), mereka (Rafizi dan Nik Nazmi) masih bercuti, kita tak boleh ganti orang yang sedang bercuti,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan itu memetik laporan Berita Harian.

Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keputusan mereka untuk meletakkan jawatan masing-masing di dalam Kabinet semalam berkuatkuasa pada 17 Jun serta 4 Julai depan.

Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan rasmi kemudian memberitahu bahawa Anwar telah meluluskan permohonan cuti kedua-dua menteri berkenaan sesulan pengumuman dibuat.

Difahamkan, kedua-dua menteri berkenaan mengaitkan keputusan perletakan jawatan tersebut dengan kekalahan mereka dalam Pemilihan PKR 2025 baru-baru ini.

Mereka berdua tewas dengan Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi kalah dalam pemilihan sebagai Naib Presiden.

Baca juga: Gen Z letak ‘mental health’ lebih penting dari gaji, Milenial akui patut belajar daripada mereka