Menyambut Hari Raya tanpa insan tersayang pastinya sangat berbeza, segala kenangan lama pastinya akan terimbau.
Begitulah juga buat pelakon Alya Iman yang mengakui rindu akan suasana beraya bersama semua ahli keluarga lapor Harian Metro.
Hilang dua insan tersayang pada tahun 2018 dan 2020, Alya berkongsi dirinya sudah kurang membuat persiapan raya.
“Saya rindu sangat zaman ‘shopping’ raya dan balik kampung tetapi sekarang saya jarang buat semua itu sebab dah tak ada sesiapa.
“Boleh kata tradisi raya itu sudah hilang, tak ada ‘vibe’ raya sangat. Hanya salam raya dengan ahli keluarga saja.
“Saya akan pulang ke Ijok iaitu kampung nenek saya itupun tak ramai saudara mara yang akan pulang ke sana,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Dalam pada itu Alya mengakui sayu apabila mendengar takbir raya tanpa arwah bapanya yang juga pelakon Allahyarham Azmil Mustapha.
“Dahulu saya dan arwah ayah selalu rancang nak pakai baju apa, tetapi selepas ibu dan ayah pergi saya dah tak beli baju raya. Asal ada saja.
“Sebenarnya saya paling sedih bila dengar takbir raya, saya akan menangis sebab mood raya itu dah hilang. Saya rasa tak mahu lagi raya.
“Rindu nak rasa ada keluarga, bila ayah pergi mood itu dah suram sebab dia yang akan rancang semuanya,” ujarnya.
Baginya, dia sudah berdamai dengan takdir selepas kehilangan dua insan paling bermakna dalam hidupnya.
“Berat sebenarnya, saya tak menyesal dengan apa yang jadi dalam hidup sebab apa yang saya ada sekarang disebabkan kekuatan yang saya miliki.
“Kita tak minta untuk jadi yatim piatu tetapi saya percaya apa yang saya lalui ia buat saya kuat kini,” katanya.
Baca juga: Apa hukum beli baju raya untuk dapatkan hadiah misteri? Ini penjelasan Ustaz Azhar Idrus