KKM ambil tindakan tutup dan kompaun kedai makan tular kes tikus makan ayam goreng

Oleh KIM SYAZIE

Rakaman video seorang pelanggan menunjukkan seekor tikus sedang menjamah ayam goreng tular telah mendapat perhatian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan.

Kedai makan tersebut di arah tutup serta-merta selama 14 hari ekoran kejadian tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) menjalankan siasatan berhubung video berkenaan dan mengenal pasti lokasi premis terlibat berada di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

“Pasukan penguatkuasa kesihatan BKKM dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat telah menjalankan pemeriksaan terhadap premis terlibat pada 24 Disember 2022.

“Hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan makanan premis tersebut tidak memuaskan Dan tindakan penutupan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 serta arahan penutupan selama 14 hari telah dikeluarkan.

“Sebanyak enam notis kompaun telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana gagal dalam beberapa aspek kawalan penyediaan makanan yang bersih dan selamat,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Justeru orang ramai, terutama pengusaha dan pengendali makanan perlu menjalankan tanggungjawab bersama dalam memastikan aspek keselamatan makanan terjaga bagi mengelakkan keracunan dan wabak penyakit bawaan makanan berlaku.

Pengguna turut disarankan memilih premis makanan yang mempunyai logo BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) apabila membeli atau menjamu makan di luar rumah.

Baca Juga: Penduduk resah tanah runtuh kecil di Taman Cengal Indah boleh mudaratkan orang ramai

Baca Juga: Guru di Terengganu didakwa kempen untuk Pas pada PRU15, sebar fitnah ‘murid dipaksa pakai skirt jika PH perintah’