KKM tegas larangan pengunaan peralatan ‘pelik’ semasa meniaga di bazar Ramadan, akan ambil tindakan

Oleh MALAYSIADATELINE

Umum tahu tahun lepas ada sahaja peniaga yang tular kerana menggunakan peralatan unik semasa meniaga bazar Ramadan.

Meskipun unik dan menarik perhatian ramai, kebanyakan peralatan digunakan tidak bersesuaian dengan penyimpanan dan penyediaan makanan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati para peniaga agar tidak mengulangi kesilapan sama.

“Tindakan seperti menggunakan akuarium sebagai pengganti bekas air balang, tong sampah hitam untuk menyimpan bahan mentah.

“Atau peralatan lain yang tidak sesuai boleh menyebabkan pencemaran makanan dan meningkatkan risiko kesihatan kepada pengguna.

“KKM sentiasa komited dalam memastikan keselamatan makanan sepanjang Ramadan melalui pemantauan dan penguatkuasaan berterusan,” ujar KKM dalam kenyataan.

Dalam pada itu, KKM turut berkongsi aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh peniaga makanan di bazar Ramadan, di bawah adalah perkara tersebut.

  • Makanan tidak disediakan terlalu awal;
  • Makanan hendaklah diangkut dalam kenderaan yang bersih serta tidak bercampur dengan bahan kimia bukan makanan dan barangan lain yang tidak berkaitan;
  • Makanan dihidangkan dalam bekas yang bersih dan bertutup;
  • Sentiasa menggunakan penyepit, senduk, sudu atau sarung tangan yang bersih untuk mengendali makanan;
  • Elakkan menghidang makanan secara bertindih antara satu sama lain;
  • Sentiasa memakai pakaian pelindung iaitu apron dan penutup kepala yang bersih;
  • Tidak memakai barang kemas, jam tangan dan sebagainya yang boleh menyebabkan pencemaran ke atas makanan;
  • Tidak melakukan amalan-amalan tidak baik seperti menggaru kepala, bersin atau batuk ke arah makanan;
  • Membasuh tangan setiap kali selepas ke tandas dan mengendalikan benda kotor; dan
  • Tidak menjual baki makanan yang tidak terjual pada keesokan harinya.

Baca juga: Che Ta rupanya belum lunas hutang MARA, baki RM443,392 perlu dibayar akhir Mac ini