Konflik Arab Saudi-Iran tidak untungkan dunia Islam

Oleh BORHAN AHMAD

Pemuda Amanah Nasional menyeru rakyat negara ini supaya meningkatkan ilmu dan pembacaan supaya tidak mudah diperkotak-katikkan selain bertanggungjawab memilih pemerintah yang tegas berhadapan kuasa-kuasa besar dunia.

Dr Mohammad Tazli AzizanPengarah Hubungan Antarabangsanya, Dr Mohammad Tazli Azizan berkata, konflik Arab Saudi-Iran yang makin meruncing harus menjadi pengajaran kepada rakyat agar celik dengan manipulasi kuasa asing kerana negara-negara lain tidak terkecuali Malaysia juga boleh menjadi mangsa.

“Dunia Islam berpecah oleh tangan-tangan Barat. Mereka ambil peluang. Amerika Syarikat menyebelahi Arab Saudi. Rusia menyokong Iran. Semuanya ada kepentingan tersendiri seperti gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah.

“Rakyat perlu cakna dengan apa yang sudah terjadi kerana pada bila-bila masa juga kita boleh dihenyak oleh kuasa Barat demi kepentingan ekonomi mereka yang mengambil kesempatan atas wujudnya kepincangan kepimpinan,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Mengulas lanjut tindakan kerajaan Arab Saudi, 4 Januari lalu memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran ekoran insiden serangan penunjuk perasaan ke atas pejabat kedutaannya di Tehran dan konsulat di Mashad, Tazli berkata, keputusan Riyadh itu pastinya menjadi tarikan antarabangsa.

“Tidak dinafikan ia membawa pandangan dan perbincangan masyarakat dunia berlegar kepada konflik ini sekaligus mengalihkan mereka daripada konflik Israel-Palestin. Israel jadi lebih selesa, oportunis musuh Islam ambil kesempatan.

“Israel dibimbangi bebas melakukan apa sahaja ketika tumpuan global turut terarah kepada reaksi negara-negara Islam selepas Bahrain, Sudan dan Kuwait turut memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran,” ujarnya lagi.

Serangan demonstran di kedutaan dan konsulat di Arab Saudi itu berlaku ekoran tindakan Riyadh melaksanakan hukuman mati ke atas ulama terkenal Iran, Sheikh Nimr al-Nimr, 2 Januari lalu pada ketika keretakan Arab Saudi-Iran berlarutan sejak berdekad lalu.

Selain isu tafsiran mengenai Islam, dasar eksport minyak mentah, polisi di Asia Barat serta interaksi dengan AS dan negara Barat, hubungan kedua-dua negara itu semakin dingin apabila Tehran menyokong Presiden Bashar al-Assad dalam perang di Syria, manakala Riyadh menyebelahi puak pemberontak.