Kongres bantah Jawi bermula dengan lagu Tamil

Oleh ARIF ATAN

Arun Dorasamy memuatnaik video lagu Tamil dalam Kongres Jawi Kebangsaan di Facebook.

Kongres Jawi Kebangsaan anjuran Gabungan Pasukan Tindakan Seni Khat atau Seni Khat Action Team (Sekat) hari ini bermula dengan lagu Tamilthai Valthu.

Setiausaha Sekat, Arun Dorasamy memaklumkan hal tersebut di Facebook kira-kira jam 8 malam tadi sambil memuatnaik video berdurasi hampir 30 saat di media sosial itu.

Kongres di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya itu berlangsung sehari selepas Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mendapat perintah mahkamah supaya membatalkan perhimpunan mereka.

Terdahulu, Dong Zong memberitahu mereka mendapat sokongan 1,118 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan pertubuhan Cina yang membantah pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Sebanyak tujuh resolusi diluluskan dalam kongres yang diberitahu pihak penganjur dihadiri seramai 1,100 “rakyat Malaysia”.

Ketujuh-tujuh resolusi itu termasuk menyeru kerajaan mengangkat semangat Akta Bahasa Kebangsaan dengan menegakkan hak sekolah vernakular untuk pembelajaran bahasa ibunda masing-masing akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan jam 11.30 pagi esok di Putrajaya.

Selain itu, resolusi kongres tersebut membantah pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi secara paksaan tanpa rundingan dan menggesa pelaksanaan tulisan itu dijadikan sebagai pilihan dan bukannya dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia Tahun 4.

Selain Arun, panelis lain yang turut berceramah dalam kongres itu adalah ahli akademik universiti swasta, Prof Mohd Tajuddin Mohd Rasdi; peguam Siti Kasim; Setiausaha Persatuan Warisan Terabai Kenyalang Sarawak Bobby Williams serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT R Thayalan.