Kongsi video nyanyi dengan penyodok, Aliff Syukri bakal berduet bersama Ira Kazar?

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri kembali menyita perhatian ramai setelah berkongsi satu hantaran video menerusi akaun Instagram miliknya.

Bertujuan untuk mempromosikan produk baharu keluarannya, rakaman tersebut turut menampilkan isteri kepada pengarah, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar.

Hal ini kerana, Ira yang juga anak kepada pelakon veteran terkenal, Kazar Saisi itu telah dilantik menjadi model bagi tudung keluaran syarikat milik Aliff Syukri.

Tular di media sosial, video tersebut memaparkan dua sosok kontroversi itu sedang ‘miming’ lagu duet nyanyian Siti Nurhaliza bersama Hafiz Suip iaitu Muara Hati.

Selain video tersebut, kapsyen yang ditulis oleh Aliff Syukri juga telah mengundang satu perbincangan hangat di kalangan pengikut Instagram ahli perniagaan tersebut.

Mana tidaknya, lelaki yang berusia 36 tahun itu seakan memberi gambaran akan mengeluarkan lagu baharu dan menjadikan Ira Kazar sebagai rakan duetnya.

Kenyataan untuk mengeluarkan lagu itu bagaimanapun sukar untuk dipastikan kerana Aliff cukup terkenal dengan tindakannya yang sengaja mencipta sensasi.

“Aiyo, feeling (menjiwai) betul saya dan Ira Kazar. Mana tahu tahun ini kami keluarkan lagu bersaama. Apa pun sebenarnya kami sekadar bergurau sahaja.

“(Video ini) untuk mempromosikan tudung selendang terbaru yang eksklusif,” jujur Aliff di kapsyen video tersebut.

Tinjauan mendapati ruangan komen postingan tersebut telah dihujani dengan pelbagai kecaman daripada pengikut yang mengaku meluat melihat tingkah Aliff Syukri.

Merasa kurang senang melihat Ira Kazar, rata-rata peminat Aliff meluahkan hasrat mereka untuk tidak lagi mengikut (follow) akaun sosial media miliknya.

Ramai juga pengguna media sosial yang menyifatkan tindakan Aliff mengambil Ira menjadi model bagai sengaja menabur pasir di dalam periuk sendiri.

“Rasanya Datuk sendiri menabur pasir dalam periuk nasi sendiri. Sekian dari wakil wanita seluruh Malaysia,” kongsi seorang pengguna.

“Maaf Datuk, saya unfollow (nyahikut). Saya tidak berminat. Daripada saya berkata bukan-bukan, baik saya undur diri.” Kata pengguna lain.

Baca juga: Ramai terkejut tengok video ini, wanita bersarung tangan cuba salam Ustaz Wadi Annuar