Umno dianggap hanya bermain wayang apabila mengeluarkan kata putus bahawa parti itu menarik semula sokongan dari Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.
Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka, Datuk Sofi Wahab berkata, jika benar Umno menganggap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai gagal, tidak sepatutnya parti itu membiarkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Jelasnya, tindakan Umno itu yang merestui Ismail menerima jawatan kedua tertinggi dalam negara jelas menunjukkan sikap wayang yang dimainkan untuk menipu rakyat.
“Ini merupakan suatu wayang box office yang dimainkan oleh Umno. Pada satu ketika mereka mengatakan bahawa mereka menarik sokongan daripada Mahiaddin.
“Tetapi hari ini Umno main wayang apabila Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri tanpa rasa malu dan segan memasuki pejabat TPM buat kali pertama.
“Itu sebab bagi saya ini adalah wayang box office terbesar yang cuba dimainkan Umno. Menipu ahli-ahli Umno, menipu rakyat kononnya Umno sudah tidak percaya lagi kepada Mahiaddin. Tetapi tanpa segan silu Naib Presiden dia terima pelantikan jawatan TPM,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Adun Durian Tunggal itu menegaskan, jika benar Umno ingin membantu rakyat, mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, sepatutnya parti itu tidak membiarkan Ismail menerima pelantikan jawatan tersebut.
Beliau juga mempersoalkan, bagaimana Ahli Parlimen Bera itu boleh menganggotai kerajaan yang sudah dikatakan gagal oleh Presiden Umno sendiri.
“Macam-macam kegagalan dibacakan Zahid Hamidi pada sidang medianya, tetapi hari ini Ismail dah masuk pejabat,” ujarnya.
Pada masa sama, Sofi menjangkakan berlaku pertembungan di dalam Umno antara Ahmad Zahid dan Ismail apabila Menteri Keselamatan itu menerima jawatan timbalan perdana menteri dalam keadaan Umno sudah pun menyatakan tentang penarikan sokongan.
“Sepatutnya Presiden Umno dan Lembaga Disiplin Umno mengambil tindakan dengan memecat Ismail. Pecat semua menteri-menteri yang masih lagi setia dan memegang jawatan dalam Kabinet Mahiaddin,” tegasnya lagi.