Bekas Senator Datuk Mohamad Ezam Mohd Noor membidas kenyataan dibuat pemimpin PKR yang dianggap beliau boleh menjejaskan kestabilan dan ekonomi negara harus dihentikan.
Beliau berkata, PKR bukan lagi sebagai sebuah parti tetapi sudah menjadi sebahagian daripada parti yang membentuk kerajaan Pakatan Harapan sewajarnya beberapa perkara dalaman dan luaran parti tidak wajar disentuh secara terbuka dan tanpa bukti.
“Kenyataan membabitkan Tun Daim Zainuddin tentunya boleh memberi kesan kepada negara kerana beliau adalah Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan/CEP (Council of Eminent Persons) yang dilantik oleh PM.
“Sesiapapun tidak boleh menafikan bagaimana CEP yang terdiri dari tokoh-tokoh besar yang berpengaruh seperti Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hasan Merican,Tan Sri Robert Kuok dan Prof Jomo KS dan Tun Daim sendiri telah memberikan kesan positif kepada kestabilan dan ekonomi negara khususnya pada peringkat awal penubuhan kerajaan baru.
“Justeru kenyataan negatif apatah lagi semborono terhadap tokoh didalam CEP boleh memberi kesan negatif kepada negara lebih-lebih lagi kenyataan dibuat oleh seorang Ahli Parlimen kerajaan,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau mengulas mengenai video yang tersebar membabitkan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mengenai dakwaan berlaku konspirasi untuk menggagalkan pemindahan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melibatkan Pengerusi Penasihat Kerajaan PH, Tun Daim Zainuddin dan juga Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Mohamad Ezam yang pernah menjadi Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (sebelum ditukar kepad PKR) di awal penubuhan parti itu, turut berkata, lebih serius lagi kenyataan itu juga menyentuh tentang kononnya ada komplot yang membabitkan jawatan Perdana Menteri (PM).
“Jawatan PM bukan sebarang jawatan.Sebarang kenyataan mengenainya mesti dibuat dengan teliti apatah lagi apabila ia datang dari ahli parlimen kerajaan.
“Kalau dakwaan dibuat ahli parlimen pembangkang implikasinya berbeza.Tetapi apabila datang dari ahli parlimen kerajaan ia memberi implikasi besar kepada negara,” ujarnya.
Beliau berkata, keghairahan berkempen untuk jawatan parti tidak boleh menjadi lesen melakukan perkara-perkara yang boleh menggugat kestabilan kerajaan dan negara.
“Maka hentikanlah.
“Saya juga harap saudara Rafizi sebagai kepala kepada kumpulan kempen ini mengambil sikap bertanggungjawab. Saya kenal Saudara Rafizi.Malah saya yang membawa dia masuk ke PKR melalui sahabat karib dan orang kanan saya didalam Pemuda dahulu Allahyarham Adlan Benan Omar.
“Mereka berdua saya usulkan dimasukkan terus ke MPT parti walaupun mereka baru tamat pengajian.Saya lihat potensi Rafizi pada ketika itu.Tetapi saya tidak setuju terhadap beberapa kenyataan dan tindak-tanduk beliau akhir-akhir ini,” ujarnya lagi.
Justeru beliau juga mengharapkan ketegasan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim didalam memperbetulkan keadaan ini.
“Beliau pernah menjadi orang nombor 2 negara dan di Kementerian Kewangan tentunya faham soal kestabilan negara dan ekonomi.
“Lebih-lebih lagi disaat kita mewarisi kerajaan kleptokrat dengan beban hutang dan kecurian yang diwarisi bersama.Makanya perkara paling utama dan harus dipandang paling serius adalah soal kestabilan dan keutuhan kerajaan dan ekonominya.
“Kalau kita benar-benar jujur mahu menyelamatkan negara dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan lain.Saharusnya tiada kompromi sama sekali terhadap unsur yang memusnahkan ini,” tegasnya.
Tambah Ezam lagi,”sekiranya ada pihak yang kurang senang dengan kenyataannya ini, pertamanya pemimpin PKR hari ini bukan pemimpin sebuah parti sahaja tetapi sebuah kerajaan. Dan sebagai rakyat biasa saya berhak menegur.
“Keduanya, sedikit sebanyak ada sumbangan kecil saya menubuhkan PKR awal dahulu dan pernah 2 kali ke penjara atas nama PKR,” ujarnya.