Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub memohon agar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melakukan sesuatu selepas agensi pencegahan rasuah yang merupakan badan terpenting negara dilanda kontroversi hebat membabitkan dakwaan pemilikan saham jutaan ringgit.
Dalam ciapan di Twitter, Salahuddin berkata, ada sesuatu yang tidak betul telah berlaku dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Tuanku YDPA, kerajaan tuanku pimpinan perdana menteri sangat lemah. Pengurusan bencana dan kini isu pembelian saham yang bernilai ratusan juta oleh KP SPRM.
“Do something and say something tuanku (Buat sesuatu dan nyatakan sesuatu tuanku).
“Something is rotten in the state of Denmark (sesuatu yang tidak betul sedang berlaku),” ciap Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH.
Terdahulu, Tan Sri Azam Baki didakwa terlibat dalam pemilikan dua juta unit saham di beberapa buah syarikat pada tahun 2015 dan 2016.
Beliau bagaimanapun menafikannya dan memberitahu bahawa akaun dagangannya itu digunakan oleh adiknya Nasir Baki untuk membuat pembelian saham.
Azam Baki berhadapan dengan tekanan berterusan apabila penjelasannya itu dianggap tidak masuk akal lebih-lebih lagi apabila Nasir Baki didakwa telah memiliki lebih tiga juta unit saham untuk tempoh yang sama di bawah akaunnya sendiri.