Kos kuarantin bebankan jemaah umrah

Oleh ARIF ATAN

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan perlu menyelesaikan masalah berkaitan caj pembayaran kuarantin hotel yang dihadapi oleh jemaah ibadah umrah.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, kos kuarantin di pusat kuarantin seperti yang diarahkan oleh kepada semua jemaah yang tiba di tanah air bermula semalam.

“Ini tentunya melibatkan kos kuarantin yang tinggi dan membebankan kepada mereka.

“Kerajaan atau kementerian bertanggungjawab mesti cepat dan tuntas dalam menangani isu ini dari terus melarat,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook beliau hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian susulan tular rakaman video berkaitan jemaah umrah yang pulang daripada mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini.

“Mereka dilaporkan diminta untuk menjalani proses kuarantin di hotel-hotel yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Kuarantin di rumah tidak dibenarkan sama sekali,” kata Anwar.

Bulan lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, individu yang pulang selepas menunaikan umrah wajib memakai gelang pengesan digital dan menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari.

Menurutnya, arahan itu dibuat berikutan terdapat 30 daripada 49 varian baharu, Omicron di Malaysia yang dikesan antara 23 dan 24 Disember lalu adalah kes import dari Arab Saudi.

Pelaksanaan kuarantin wajib itu walau bagaimanapun mengundang kritikan apabila kos pembayaran hotel yang ditetapkan pada masa ini amat tinggi antara RM250 hingga RM300.

Bagaimanapun, Khairy pada sidang media di Parlimen pada 1 Januari lalu memberitahu kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari ini ekoran penularan jangkitan Omicron.