KPKT perlu kaedah cuci kotoran bauksit agar tidak tambah pencemaran

Oleh MALAYSIADATELINE

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) harus mengenalpasti satu kaedah  baru  bagi mencuci kotoran bauksit  selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan  agar tidak menambahkan lagi  pencemaran sedia ada, kata Pengerusi Badan Bertindak Mencegah Pencemaran Bauksit, Fuziah Salleh.

 Beliau berkata, warga Kuantan menerima dengan baik usaha kerajaan negeri dan persekutuan untuk mencuci kekotoran akibat pencemaran bauksit disekitar Kuantan, namun pelaksanaannya tidaklah boleh dianggap sama sebagaimana kerja-kerja  pembersihan perparitan yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Kita  memuji usaha petugas dan berterima kasih kepada semua agensi yang telah bekerja keras, bertungkus lumus untuk melaksanakan tugas mencuci ini.

“Namun setelah beberapa hari meneliti perjalanan pencucian tersebut timbul satu persoalan berkenaan aliran air kotoran dari pencucian tersebut yang tentu sekali akan masuk semula kepada sistem peparitan dan seterusnya ke sungai dan ke laut.

“Kita sedia maklum bahawa tanah bauksit ini mengandungi bahan logam berat merbahaya dan tentu sekali air yang begitu banyak yang digunakan untuk mencuci kekotoran bauksit tersebut akan menambahkan kepada pencemaran air sungai yang telah sedia tercemar kini,Ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kuantan ini juga berkata dalam usaha kerajaan negeri mahu mengembalikan kelestarian kawasan daerah Kuantan, pihaknya tidak mahu pula usaha tersebut menambah kepada pencemaran yang telah sedia ada di sungai-sungai akibat perlombongan bauksit sebelum ini.

“Saranan saya kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ialah supaya ada satu kaedah dikenalpasti dimana air kotoran dari puncucian ini di sedut balik kedalam satu tangki bergerak.

“Sekaligus memastikan air larian tersebut tidak mengalir ke sistem peparitan atau ke sungai. Air kotoran tersebut boleh juga dirawat sebelum dilepaskan semula kedalam sistem peparitan.

“Agensi atau syarikat khas boleh dibawa masuk sebagai tambahan kepada agensi yang sedia terlibat,” ujarnya.

Malah Fuziah turut menyambut menyambut baik dan berpuas hati diatas kenyataan Menteri KPKT yang menegaskan bahawa bil mencuci akan ditanggung oleh pelombong dan pengusaha bauksit yang telah bertanggungjawab keatas pencemaran ini.

Pada 11 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjalankan kerja pembersihan di kawasan terjejas akibat perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang.

Arahan itu dikeluarkan Najib dalam mesyuarat Kabinet susulan keluhan dan aduan diterima daripada penduduk tempatan yang terjejas akibat aktiviti perlombongan bauksit.

Keputusan itu mendapat bantahan daripada Gabungan Badan Bertindak Menentang Pencemaran Bauksit apabila mendesak Najib membatalkan arahan ini kerana Najib tidak boleh menggunakan duit rakyat untuk mencuci pencemaran daripada perlombongan sebaliknya menyarankan perlu bertindak mengarahkan syarikat yang mengaut keuntungan melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Lantas pada 15 Januari semua syarikat terlibat lansung dengan  aktiviti perlombongan bauksit diminta membayar segala kos kerja-kerja pembersihan kata Menteri KPKT, Datuk Abdul Rahman Dahlan.